
AURA Ella selaku ‘Ratu Rock’ ternyata kekal hebat tatkala menghiburkan kira-kira 5,000 penonton yang menghadiri Konsert Jilid Akhir Puteri Kota di ibu negeri, baru-baru ini.
Sudah 35 tahun dalam industri, penyanyi dengan suara unik ini membuktikan kenapa dia berjaya mempertahankan gelaran terbabit.
Mendatangkan konsert yang pernah melakar sejarah diiktiraf ‘Most Concert Tickets Sold Out: 10,000 tickets Sold Out in 24 Hours’ oleh The Malaysia Book of Records ke Kota Kinabalu, ia jelas mencetuskan keterujaan penggemarnya.
Peminat yang hadir datang daripada pelbagai lapisan umur sama ada mereka yang meminati Ella sejak kemunculan awalnya bersama Ella & The Boys pada 1980an, dan tidak ketinggalan juga daripada generasi baharu.
