Aurelius Healthcare buka hospital baharu di Kuantan, perluaskan akses perubatan swasta ke Pantai Timur

LocalHealth & Fitness
8 May 2025 • 5:05 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Aurelius Healthcare buka hospital baharu di Kuantan, perluaskan akses perubatan swasta ke Pantai Timur

image is not available

08/05/2025 - 17:05

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 8 Mei — Aurelius Healthcare melancarkan Hospital Aurelius Pahang (AHP) di Kuantan susulan kejayaan pembukaan Hospital Aurelius Alor Setar (AHAS).

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Panglima, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Aurelius Healthcare, Datuk Amir Firdaus Abdullah berkata, pelancaran AHP mencerminkan komitmen syarikat untuk membawa penjagaan kesihatan bertaraf dunia.

"Hospital ini merupakan usaha membina ekosistem penjagaan kesihatan yang mudah diakses, saling berhubung, dan berteraskan pesakit," katanya dalam satu kenyataan.

AHP akan dibangunkan sebagai hospital moden 12 tingkat dengan 150 katil dan 40 klinik pakar melalui pelaburan tambahan AS$24.4 juta (RM100 juta), selepas pelaburan permulaan AS$8.4 juta (RM36 juta).

Pemilik utama Aurelius Healthcare, Navis Capital Partners telah melabur lebih AS$80 juta (RM335 juta) sejak 2019 dalam usaha memperkukuh pengembangan kumpulan tersebut di Malaysia.

AHP dilengkapi teknologi canggih seperti MRI 1.5 Tesla, pengimbas CT 64-slice, angiogram satu satah serta perkhidmatan pengimejan dan endoskopi, dan kini sedang membangunkan bidang onkologi, pembedahan invasif minimum, ortopedik serta kesihatan wanita dan kanak-kanak.

Hospital itu adalah yang pertama di Kuantan menawarkan rawatan onkologi komprehensif dan bakal dilengkapi dengan mesin khusus untuk rawatan radioterapi.

Hampir 1,000 pembedahan telah dilakukan dan lebih 2,000 kelahiran telah direkodkan.

AHP turut menawarkan prosedur arteriovenous fistula (AVF) dan komited menerbitkan hasil klinikal sebagai bukti ketelusan dan kecemerlangan. Malahan, menyediakan Signature Suites, perkhidmatan premium untuk pesakit VIP dengan jururawat peribadi dan proses keluar wad pantas.

Pengasas Bersama Navis Capital, Datuk Seri Nicholas Bloy berkata, pembukaan AHP merupakan langkah strategik untuk mengukuhkan ekosistem penjagaan kesihatan swasta seluruh negara.

Pelancaran Hospital Aurelius Negeri Sembilan (AHNS) tahun ini menjadikan Aurelius memiliki tiga hospital utama di Utara, Tengah, dan Pantai Timur. AHNS turut memperoleh pensijilan Joint Commission International (JCI).- DagangNews.com

standard