Putrajaya Holdings bekerjasama dengan Sunway Healthcare bangunkan pusat perubatan di Presint 7

LocalHealth & Fitness
24 Apr 2025 • 9:34 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Putrajaya Holdings bekerjasama dengan Sunway Healthcare bangunkan pusat perubatan di Presint 7

image is not available

24/04/2025 - 09:34

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 24 April - Putrajaya Holdings Sdn Bhd, bekerjasama dengan Sunway Healthcare Holdings Sdn Bhd, untuk membangunkan pusat perubatan dilengkapi pelbagai kepakaran di Putrajaya.

Kedua-dua syarikat telah menandatangani perjanjian awal bagi membangunkan pusat perubatan swasta bersepadu di Presint 7, Putrajaya.

"Melalui kerjasama ini, Putrajaya Holdings dan Sunway Healthcare tidak sekadar membina sebuah hospital, tetapi kami berhasrat untuk mewujudkan ekosistem penjagaan kesihatan yang moden dan berkualiti tinggi," katanya dalam satu kenyataan.

Presint 7 dipilih kedudukannya yang strategik dan mudah diakses, berhampiran dengan Putrajaya Sentral serta institusi kesihatan utama seperti Hospital Putrajaya, Institut Kanser Negara, dan Akademi Perubatan Malaysia.

Komponen pertama pusat perubatan itu merangkumi hospital tertiari dengan lebih 300 katil. Kemudahan itu akan menawarkan perkhidmatan perubatan canggih dan rawatan pakar termasuk unit rawatan luka terbakar untuk penduduk Putrajaya, Lembah Klang Selatan, serta pesakit antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Putrajaya Holdings, Datuk Izwan Hasli Mohd Ibrahim berkata, penubuhan ekosistem penjagaan kesihatan itu sejajar usaha memperkasa gaya hidup holistik di Putrajaya.

"Putrajaya Holdings menawarkan persekitaran gaya hidup lengkap dengan infrastruktur moden, pelbagai kemudahan serta kawasan hijau yang luas.

"Penubuhan ekosistem penjagaan kesihatan ini satu lagi langkah ke arah mewujudkan kualiti hidup menyeluruh," katanya.

Pusat perubatan itu terletak bersebelahan pembangunan komersial baharu syarikat berkenaan, Destina Putrajaya yang dijangka mula beroperasi pada November 2025.

Destina Putrajaya merupakan pembangunan pengangkutan yang menggabungkan elemen kediaman, komersial, dan gaya hidup dengan akses terus kepada sistem pengangkutan awam.

Presiden Sunway Health Group, Datuk Lau Beng Long berkata, kerjasama tersebut membolehkan masyarakat Putrajaya dan sekitarnya mendapatkan akses kepada penjagaan kesihatan swasta yang menyeluruh dan berkualiti.

"Kami komited menyediakan kemudahan terbaik serta rawatan perubatan yang berpusat kepada pesakit secara berhemah," katanya.- DagangNews.com

standard