
CANBERRA: Kerajaan Australia pimpinan Perdana Menteri, Anthony Albanese akan mengurangkan kuota kemasukan pelarian tahunan sebanyak satu pertiga kepada 13,750 orang bermula 2027, sebagai sebahagian usaha mengurangkan penghijrahan bersih ke negara itu.
Kuota kemanusiaan Australia kini ditetapkan pada 20,000 orang setahun selepas meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Pengurangan itu bagaimanapun tidak termasuk dalam langkah mengetatkan imigresen yang sedang dipertimbangkan Kabinet Buruh, yang masih berunding mengenai rombakan dasar imigresen yang sekian lama tertangguh.
Langkah berkenaan sudah diambil kira dalam unjuran bajet kerajaan, yang menjangkakan penghijrahan bersih Australia turun kepada 225,000 orang pada 2027-2028.
Sumber kerajaan memberitahu Australian Financial Review, keputusan mengurangkan kuota pelarian turut didorong tekanan terhadap perkhidmatan penempatan semula di negara itu.
Sejak kembali berkuasa pada 2022, kerajaan parti Buruh meningkatkan kuota kemanusiaan kepada 20,000 pelarian setahun.
Jumlah itu bagaimanapun masih lebih rendah berbanding sasaran 27,000 pelarian setahun menjelang 2025 yang diumumkan pemimpin pembangkang ketika itu, Bill Shorten, pada 2015.
Peningkatan terakhir kuota kemanusiaan dibuat pada 2023, apabila jumlahnya dinaikkan daripada 17,875 orang kepada 20,000 orang setahun.
Pengurangan itu bermakna jumlah pelarian yang diterima Australia setiap tahun akan berkurang sebanyak 6,250 orang berbanding kuota semasa.
Langkah berkenaan dibuat ketika kerajaan Albanese berusaha menangani tekanan terhadap sistem imigresen dan mengurangkan kadar penghijrahan bersih.
Kerajaan masih belum memuktamadkan keseluruhan rombakan dasar imigresen, yang dijangka menjadi antara isu utama dalam usaha mengawal jumlah penduduk dan tekanan terhadap perkhidmatan awam. – AGENSI
The post Australia kurangkan kuota pelarian mulai tahun depan appeared first on Utusan Malaysia.

