Australia Meluluskan RUU Mengharamkan Individu Bawah 16 Tahun Menggunakan Media Sosial

TechnologyDigital
28 Nov 2024 • 8:48 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Dewan senat Australia telah meluluskan rang undang undang yang melarang semua individu bawah 16 tahun daripada menggunakan laman media sosial semalam. RUU kini akan dibentangkan pula di dewan senat hari ini selepas melepasi dewan perwakilan hanya semalam dengan ia menerima sokongan kerajaan dan juga barisan pembangkang.

RUU akan berkuatkuasa setahun daripada sekarang dengan Australia akan menjadi negara yang menghalang penggunaan media sosial individu remaja paling ketat di dunia. Penggunaan masih dihalang sungguhpun mendapat mereka mendapat kebenaran ibu bapa atau penjaga.

image is not available

Platform media sosial yang membenarkan pengguna bawah umur boleh dikenakan denda AUD 50 juta (~RM 144 juta) sekiranya gagal memperkenalkan sistem pengesahan usia. Tempoh setahun diberikan bagi membolehkan pengendali platform media sosial melakukan persediaan. Sistem menggunakan kad pengenalan dengan imbasan biometri adalah antara yang akan diuji bagi melihat sama ada ia boleh digunakan ataupun tidak.

Wakil syarikat teknologi sudahpun memberikan komen bahawa mereka memerlukan lebih masa untuk memperkenalkan sistem pengesahan usia dan meminta kerajaan memperhalusinya bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

Minggu ini TikTok telahpun mengatakan mereka akan memperkenalkan sistem pengesahan identiti menggunakan AI serta menghalang penggunaan penuras mencantikkan muka kepada pengguna bawah 18 tahun.

Adakah pengharaman penggunaan media sosial sesuatu yang wajar? Adakah benar media sosial ialah seperti alkohol dan produk tembakau yang hanya boleh diberikan kepada mereka yang sudah dewasa?