
Autofagi & Kesihatan Sel: Perlukah Produk Mahal Untuk Kekal Sihat?
Sebut sahaja tentang melambatkan penuaan atau kekal awet muda, minda kita sering terbayang krim muka berjenama mewah, suplemen mahal atau siri rawatan estetik di klinik pakar yang menelan belanja ribuan ringgit.
Industri kecantikan dan antipenuaan global terus mengaut keuntungan berbilion ringgit setiap tahun atas kebimbangan manusia terhadap kedutan dan uban.
Namun, reka bentuk biologi manusia sebenarnya sangat menakjubkan. Saintis perubatan telah menemui bahawa rahsia sebenar untuk kekal muda bukan terletak pada apa yang kita sapu atau telan, sebaliknya pada keupayaan tubuh untuk ‘membersihkan diri dari dalam’.
Proses ini dikenali sebagai autofagi iaitu suatu sistem antipenuaan semula jadi yang percuma, saintifik dan ia ada dalam diri kita semua.
Sains di sebalik proses kedutan dan penuaan
Sebelum melihat bagaimana autofagi berfungsi, kita perlu faham mengapa manusia menua. Seiring berjalannya usia, sel-sel badan mengumpulkan ‘sampah’ biologi.
Ini termasuk protein yang rosak, toksin persekitaran dan organel (kilang tenaga sel) yang sudah tidak berfungsi dengan cekap.
Apabila sampah-sarap selular ini bertimbun, sel menjadi lembap, meradang dan akhirnya mati. Di peringkat luaran, kita melihatnya sebagai kedutan kulit, rambut memutih, kelesuan kronik dan penurunan fungsi memori.

Di sinilah autofagi bertindak sebagai ‘hero tanpa jubah’. Berasal daripada istilah Greek yang bermaksud ‘makan diri sendiri’, autofagi adalah proses di mana sel memburu, mengasingkan dan menghancurkan komponen yang rosak tadi.
Sisa hancur itu kemudian dikitar semula menjadi asid amino baharu untuk membina sel yang lebih muda, segar dan bertenaga. Secara ringkasnya, ia adalah proses facelift semula jadi peringkat sel.
Bagaimana membuka suis awet muda?
Autofagi tidak aktif secara maksimum jika kita sentiasa hidup dalam keadaan selesa, terutamanya jika kita makan tanpa henti sepanjang hari.
Untuk mengaktifkan proses kitar semula ini, badan perlu diletakkan dalam keadaan ‘stres positif’ yang terkawal.
Empat kaedah saintifik untuk mengaktifkannya tanpa mengeluarkan belanja adalah:
1. Kuasa Intermittent Fasting (Puasa Berkala)
Makanan ialah tenaga. Apabila kita sentiasa menyuap makanan ke dalam mulut, paras hormon insulin sentiasa tinggi dan sel berada dalam mod ‘menyimpan dan membina’.
Apabila kita berpuasa sekitar 16 hingga 24 jam, paras insulin akan merosot. Ketiadaan tenaga dari luar memaksa sel mengaktifkan autofagi untuk mencari sumber alternatif.
Sel akan mula ‘memakan’ protein yang rosak dan menukarkannya kepada tenaga. Hasilnya, sel menjadi bersih dan organ berfungsi lebih lancar.
2. Diet rendah karbohidrat (Ketogenik)
Jika anda tidak berpuasa, anda masih boleh merangsang autofagi melalui pilihan menu harian. Dengan mengurangkan pengambilan gula, nasi putih dan tepung, serta melebihkan sayuran hijau dan lemak sihat (seperti minyak zaitun atau avokado), anda meniru keadaan berpuasa.
Apabila badan kekurangan karbohidrat, ia bertukar kepada mod membakar lemak (ketosis), yang secara langsung mencetuskan proses pembersihan selular.
3. Senaman yang memeras otot
Bukan sekadar berjalan santai, tetapi senaman yang memberi tekanan fizikal yang sengaja kepada tubuh, seperti latihan bebanan (weight training) atau High-Intensity Interval Training (HIIT).
Apabila otot dipaksa bekerja keras, berlaku kerosakan mikro pada sel otot. Keadaan ini mencetuskan isyarat kecemasan kepada sistem autofagi untuk datang membersihkan sel otot yang rosak dan menggantikannya dengan struktur otot yang baharu dan lebih padat.
4. Tidur nyenyak yang berkualiti
Proses pembersihan sel ini dikawal ketat oleh ritma sirkadian, iaitu jam biologi badan. Kajian menunjukkan bahawa autofagi, terutamanya di dalam sel otak, memuncak ketika kita sedang tidur nyenyak (deep sleep).
Tidur yang cukup iaitu tujuh hingga lapan jam sehari bermula sebelum tengah malam membolehkan ‘kontraktor pembersihan’ ini bekerja tanpa gangguan untuk membaiki kerosakan yang berlaku sepanjang hari.
Pelaburan terbaik adalah percuma
Kesimpulannya, membeli produk penjagaan wajah yang mahal tidak salah, namun ia hanya merawat lapisan luaran. Kecantikan dan kesihatan yang sebenar bermula dari dalam.
Dengan mengamalkan puasa berkala, bersenam secara konsisten dan menjaga waktu tidur, kita sebenarnya sedang melabur untuk pelan antipenuaan yang paling efektif dan diiktiraf oleh sains perubatan.
Kadangkala, cara terbaik untuk memberi tubuh kita lebih sihat adalah dengan memberi kurang makanan.
Sayangi poket anda, aktifkan autofagi anda hari ini.
Penulis merupakan Pensyarah Perubatan, Jabatan Anatomi, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
