Autonomi Sabah dalam bidang pendidikan dan kesihatan: Harapan penurunan kuasa dimuktamad

LocalPolitics
2 Aug 2023 • 2:29 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri berharap Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat memuktamadkan mengenai penurunan kuasa dalam bidang pendidikan dan kesihatan kepada Kerajaan Negeri, seperti yang dibincangkan menerusi Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam masa terdekat, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Menyambut baik pengumuman Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mengenai penurunan kuasa itu, beliau berkata, dengan lebih banyak autonomi, ia akan memastikan sistem pendidikan negeri ini terus maju seiring dengan perkembangan di Semenanjung Malaysia.

Katanya, penurunan kuasa itu yang tertumpu kepada aspek pentadbiran dan pengurusan, akan lebih memudahkan Kerajaan Negeri untuk melaksanakan dan mempercepatkan setiap projek pembangunan pendidikan, di samping pelantikan dalam perjawatan perguruan, sepertimana yang diharapkan oleh rakyat negeri ini.

“Usaha desentralisasi kuasa pendidikan ini juga secara tidak langsung membuktikan kepercayaan Kerajaan Persekutuan kepada jentera Kerajaan Negeri, khususnya dalam meningkatkan keupayaan sistem pendidikan di negeri ini,” katanya pada Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (ABCNS) Siri ke-34 di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha, di sini, pada Selasa.

SPONSORED CONTENT K.T.I. achieves RM140 million sales Kota Kinabalu: K.T.I. Sdn Bhd’s The Logg, Luyang has launched Easy Care, its brand-new hospitality initiative, which aims to elevate the living experience by providing an all–in-one care to its residents at Shorea n Astoria. Read more “Kita yakin dengan adanya autonomi ini, Kerajaan Negeri melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi akan mempunyai fleksibiliti untuk pelbagai isu yang berkaitan pendidikan di negeri ini.

“Dalam hal ini, pegawai di peringkat negeri mempunyai pengetahuan yang lebih baik tentang permasalahan rakyat di kawasan sendiri.

“Dengan itu, kawalan dan penyeliaan yang lebih baik harus dilaksanakan dan ini secara tidak langsung membolehkan isu permasalahan rakyat dapat diurus dengan lebih cekap dan cepat,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri membelanjakan sebanyak RM35 juta pada 2022 bagi melaksanakan beberapa inisiatif dalam pendidikan untuk memperkukuh dan melahirkan modal insan negeri ini yang berilmu demi membentuk masa depan yang gemilang.

Katanya, antara inisiatif pendidikan ialah pemberian BUDI (Bantuan Tunai Pendaftaran IPT secara sekali-bayar), BISTARI (Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri Sabah), BAKTI (Bantuan Khas Tunai Peperiksaan), BAGUS (Bantuan Aktiviti Guru dan Ibu Bapa Sabah), AKSA (Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah), BISBAH (Bantuan Ihsan Sekolah Sabah) dan BAIK (Bantuan Ihsan Komputer).

Beliau berkata, inisiatif-inisiatif berkenaan memberi manfaat kepada seramai 41,590 pelajar dan 3,044 bayi di samping 1,500 sekolah dan 630 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Sementara pada tahun ini, sebanyak RM43 juta telah disediakan oleh Kerajaan Negeri dalam Bajet 2023 untuk tujuan sama.

Katanya, inisiatif ini berupa bantuan tunai pendaftaran Institut Pengajian Tinggi (IPT), Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), bantuan peperiksaan, anugerah kecemerlangan, sumbangan peralatan sekolah, komputer riba dan bantuan kepada PIBG.

Hajiji berkata, inisiatif yang diberikan kerajaan itu jelas menunjukkan komitmen kerajaan kepada peningkatan peluang pendidikan inklusif untuk semua rakyat tanpa mengira latar belakang mereka.

Semua inisitaif itu terbukti memberi banyak faedah, khususnya dalam mengurangkan beban kewangan golongan kurang berkemampuan dan golongan B40.

Menurutnya, tahun ini dua lagi inisiatif bantuan pendidikan baharu akan dilaksanakan iaitu Bantuan Khas Program Pendidikan Sabah (BANTU) dan Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (BALKIS).

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.