
KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) mengesan taktik penipuan menggunakan identiti institusi itu menerusi laman web dan aplikasi palsu bagi memperdaya orang ramai mendapatkan maklumat peribadi serta perbankan mereka.
Dalam peringatan yang disiarkan menerusi media sosial hari ini, BNM menegaskan bahawa penampilan sesebuah laman web yang menyerupai portal rasmi tidak menjamin kesahihannya.
Orang ramai diminta supaya tidak mudah mempercayai laman web atau aplikasi yang menggunakan nama dan identiti BNM tanpa terlebih dahulu memastikan kesahihannya.
Bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan, orang ramai boleh membuat pengesahan terhadap sebarang maklumat yang meragukan menerusi portal rasmi bank pusat itu di bnm.gov.my/sahkan.
BNM turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika melayari laman web atau menggunakan aplikasi yang mendakwa mempunyai kaitan dengan institusi berkenaan. - Getaran, 6 November 2026





