
Awas, Peti Sejuk Boleh Jadi Punca Penyakit Jika Abaikan 6 Perkara Ini
Peti sejuk sering dianggap sebagai tempat paling selamat untuk menyimpan makanan agar tahan lama dan kekal segar.
Namun, tanpa disedari peti sejuk yang kelihatan bersih itu sebenarnya boleh menjadi punca penyakit jika tidak dijaga dengan betul.
Bukan kerana alatnya rosak tetapi kerana cara kita menyimpan dan menguruskan makanan di dalamnya sering mengundang risiko pencemaran bakteria tanpa kita sedari.
Ramai yang tidak tahu bahawa suhu sejuk tidak membunuh bakteria sepenuhnya. Ia hanya memperlahankan pertumbuhannya.
Jika anda terbiasa menyimpan makanan panas terus ke dalam peti atau mencampurkan bahan mentah dan makanan masak dalam satu ruang, ia sebenarnya boleh mengundang risiko pencemaran silang.
Apabila ditambah pula dengan tabiat membiarkan sisa makanan lama tersimpan berhari-hari, bakteria seperti Listeria dan E. coli boleh mudah membiak dan mencemari makanan lain tanpa disedari.
Akibatnya, makanan yang nampak elok sekalipun boleh menyebabkan keracunan atau gangguan kesihatan.
Lebih membimbangkan, kebanyakan orang jarang memberi perhatian kepada kebersihan peti sejuk secara menyeluruh.
Rak, dinding dalam dan getah pintu sering menjadi tempat lembap yang sesuai untuk pertumbuhan kulat.
Jadi, sebelum menganggap peti sejuk anda selamat, pastikan ia dibersihkan, disusun dan diselenggara dengan betul agar tidak menjadi punca penyakit yang datang secara senyap.
1. Bakteria boleh hidup dalam suhu sejuk
Ramai yang percaya bahawa suhu sejuk mampu membunuh bakteria namun hakikatnya ia hanya memperlahan kadar pertumbuhan bakteria dan bukannya memusnahkannya sepenuhnya.
Ada sesetengah bakteria yang sangat tahan terhadap suhu rendah seperti Listeria monocytogenes yang masih boleh hidup dan membiak dalam keadaan sejuk.
Bakteria ini berpotensi menyebabkan jangkitan serius yang dikenali sebagai listeriosis terutama kepada wanita hamil, bayi serta individu dengan sistem imun yang lemah.
Selain itu, bakteria seperti Salmonella dan E. coli juga boleh terus aktif jika makanan tidak disimpan dengan cara yang betul.
Misalnya apabila bahan mentah seperti ayam, ikan atau daging merah diletakkan berdekatan dengan makanan yang telah dimasak.
Akibatnya, pencemaran silang (cross-contamination) boleh berlaku. Ini menjadikan makanan yang kelihatan elok dan tidak berbau itu sebenarnya berisiko tinggi menyebabkan keracunan makanan.
2. Jangan terus simpan makanan panas ke dalam peti sejuk
Ini antara kesilapan paling biasa dilakukan oleh ramai orang di rumah iaitu terus memasukkan lauk panas ke dalam peti sejuk sebaik sahaja selepas masak.
Walaupun niatnya baik, tindakan ini sebenarnya boleh menjejaskan keseluruhan suhu dalam peti sejuk. Ianya sekali gus mencipta suasana lembap dan hangat yang menggalakkan pembiakan bakteria.
Apabila suhu di dalam peti sejuk meningkat secara mendadak, makanan lain yang sedia ada di dalamnya turut terjejas dan mudah rosak walaupun belum tamat tempoh.
Wap panas yang terperangkap juga boleh membentuk lapisan kondensasi di permukaan makanan lain yang akan menyebabkan air menitis dan mengubah rasa serta teksturnya.
Oleh itu, biarkan makanan sejuk terlebih dahulu pada suhu bilik sekurang-kurangnya 30 hingga 45 minit sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk.
Langkah mudah ini bukan sahaja menjaga kualiti makanan malah memastikan suhu dalaman peti sejuk kekal stabil.
3. Bahagikan ruang mengikut kategori
Peti sejuk yang kelihatan kemas bukan sekadar menyenangkan mata tetapi sebenarnya penting untuk keselamatan makanan dan kesihatan keluarga.
Setiap jenis makanan perlu disusun mengikut kategori dan fungsi supaya tiada pencemaran silang berlaku. Contohnya, bahan mentah seperti ayam, ikan dan daging perlu diletakkan di bahagian paling bawah untuk mengelakkan air atau darah mentah menitis ke makanan lain.
Sementara itu, makanan masak dan sedia dimakan seperti lauk semalam, roti, keju dan susu boleh disimpan di rak tengah manakala sayur-sayuran serta buah-buahan sebaiknya ditempatkan di dalam laci khas yang disediakan.
Jangan lupa gunakan bekas bertutup untuk setiap bahan supaya bau makanan tidak bercampur. Dengan sistem penyusunan begini, bukan sahaja udara sejuk dapat beredar dengan sekata tetapi setiap bahan juga akan kekal segar lebih lama dan bebas risiko bakteria berbahaya.
4. Hati-hati dengan ais lama
Ramai yang tidak sedar bahawa ais yang disimpan terlalu lama juga boleh menjadi salah satu punca pencemaran makanan.
Dulang ais atau bekas penyimpan yang jarang dibersihkan boleh menjadi tempat bakteria dan kulat membiak. Keadaan menjadi lebih teruk jika air yang digunakan pula datang daripada sumber tidak bersih atau paip yang sudah berkarat.
Lebih membimbangkan, ais mudah menyerap bau daripada makanan lain dalam peti sejuk yang akan menyebabkan rasa minuman berubah dan kadang-kadang berbau pelik.
Sekiranya ais lama digunakan untuk minuman harian, bakteria itu mungkin terus masuk ke dalam tubuh tanpa disedari. Sebab itu penting untuk menggantikan ais secara berkala.
Sebaiknya setiap minggu dan dulang ais dibersihkan dengan air suam serta sedikit cuka putih. Walaupun nampak remeh, langkah kecil ini sebenarnya memberi kesan besar kepada kebersihan dan kesihatan anda sekeluarga.
5. Lap dan bersihkan peti sejuk secara berkala
Selain itu, peti sejuk yang bersih adalah asas kepada dapur yang sihat. Sama seperti sinki atau dapur memasak, ia memerlukan perhatian dan penjagaan yang konsisten.
Dinding dalam, rak dan getah pintu sering menjadi kawasan yang lembap. Ia menjadi tempat yang ideal untuk kulat dan bakteria membiak.
Jika dibiarkan terlalu lama, anda mungkin mula perasan bau kurang menyenangkan atau lapisan lendir halus pada permukaannya.
Oleh itu, jadikan rutin untuk membersihkan peti sejuk sekurang-kurangnya dua kali sebulan menggunakan campuran air suam dan cuka putih.
Selain menghilangkan bau dan minyak yang melekat, ia juga berfungsi sebagai agen antibakteria semula jadi tanpa bahan kimia keras.
Semasa membersihkan, periksa setiap bekas dan buang makanan yang sudah tamat tempoh atau kelihatan mencurigakan.
Ruang penyimpanan yang bersih bukan sahaja menjadikan makanan tahan lebih lama tetapi juga memastikan udara dalam peti sejuk kekal segar dan bebas bau busuk.
6. Pastikan suhu sentiasa sesuai
Suhu juga memainkan peranan besar dalam menentukan berapa lama makanan boleh disimpan tanpa rosak. Suhu ideal bagi ruang sejuk ialah antara 1°C hingga 4°C manakala ruang beku pula sekitar -18°C.
Jika suhu terlalu tinggi, makanan mudah rosak walaupun baru sehari disimpan. Sebaliknya, jika terlalu rendah, sesetengah bahan seperti sayur dan buah boleh menjadi lembik, berair atau kehilangan khasiatnya.
Oleh itu, penting untuk memastikan termostat peti sejuk anda sentiasa berfungsi dengan baik. Jika boleh, gunakan termometer khas untuk memantau suhu secara berkala.
Selain itu, elakkan memenuhkan peti sejuk secara berlebihan kerana aliran udara sejuk tidak dapat bergerak dengan lancar.
Peti sejuk yang terlalu padat bukan sahaja menyebabkan makanan cepat rosak tetapi juga meningkatkan penggunaan tenaga elektrik.
Kesimpulannya, peti sejuk bukan sekadar alat elektrik. Ia sebenarnya penjaga utama kesihatan seisi rumah. Setiap kali anda membuka pintunya, anda berurusan dengan makanan yang bakal masuk ke dalam tubuh.
Jadi kebersihan dan susunan di dalamnya mencerminkan tahap kesedaran terhadap kesihatan diri serta keluarga. Dengan sedikit perhatian dan disiplin, anda bukan sahaja dapat mengekalkan kesegaran bahan mentah tetapi juga mengelak penyakit yang berpunca daripada pencemaran bakteria.
Jadikan amalan menjaga peti sejuk sebagai sebahagian daripada gaya hidup sihat kerana dari situlah bermulanya langkah pertama ke arah dapur yang bersih, makanan yang selamat dan keluarga yang bebas penyakit.
Sumber :
The post Awas, Peti Sejuk Boleh Jadi Punca Penyakit Jika Abaikan 6 Perkara Ini appeared first on Siakap Keli.



