AWC ambil alih 49% pegangan dalam Stream Group berharga RM110 juta

Business & Finance
15 Sep 2023 • 9:32 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AWC ambil alih 49% pegangan dalam Stream Group berharga RM110 juta

diyana

15/09/2023 - 09:32

KUALA LUMPUR 15 Sept - AWC Bhd telah mencadangkan pengambilalihan baki 49% pegangan dalam pembekal sistem pengumpulan sisa automatik, Stream Group Sdn Bhd, yang berharga RM110 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, AWC berkata ia turut akan mengambil alih baki 51% pegangan dalam Premium Patents Sdn Bhd pada RM1.

Pada masa ini, Stream Group ialah anak syarikat 51% milik AWC dan Premium Patent ialah syarikat bersekutu 49% milik Stream Group.

AWC telah menandatangani perjanjian jual beli saham bersyarat untuk membeli 49% pegangan dalam Stream Group daripada Premium NXL Sdn Bhd dan 51% dalam Premium Patent daripada Premium NXL dan Premium Deluxe Sdn Bhd.

Menurut AWC, cadangan pengambilalihan itu akan membolehkannya memperoleh kawalan penuh dalam Stream Group untuk memacu hala tuju dan pertumbuhan strategik masa depannya, serta membolehkan AWC merealisasikan sepenuhnya semua usaha dan inisiatif yang dilaksanakan oleh syarikat dan pengurusannya dalam Kumpulan Stream.

Ketua Pegawai Eksekutif Dan Presiden Kumpulan AWC, Datuk Ahmad Kabeer berkata Stream Group menyaksikan prestasi kewangan yang sangat baik pada tahun kewangan 2023 (FY23), yang menunjukan penggunaan sistem pengumpulan sisa automatik semakin meningkat, seperti di Abu Dhabi dan Singapura.

“Kami menjangkakan momentum ini berterusan apabila kami meneroka pasaran besar yang belum diterokai seperti Indonesia dan Kerajaan Arab Saudi, di mana kami berharap dapat mengulangi penggunaan berskala besar sistem pengumpulan sisa automatik Stream Group seperti di Pantai Al Raha, Abu Dhabi.

“Kami percaya bahawa ini adalah masa yang sesuai untuk pengambilalihan ini kerana Stream Group akan mencatat satu lagi fasa pertumbuhan berbilang tahun. Dengan sumber yang mencukupi, kami berminat untuk menyokong dan menjadi sebahagian daripada pertumbuhan ini,” ulas beliau.

Pengambilalihan itu, yang memerlukan kelulusan pemegang sahamnya, dijangka selesai pada suku pertama 2024.

Saham AWC dibuka 1.5 sen atau 3.2% lebih tinggi pada 48.5 sen hari ini, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM156.6 juta. - DagangNews.com