AWESOME TV fail saman fitnah terhadap Amir Raja Lawak, Mamak Puteh, Abu Mamu

LocalEntertainment
7 Aug 2025 • 7:55 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Stesen penyiaran tempatan, Awesome TV, hari ini mengesahkan bahawa mereka telah memfailkan satu tindakan undang-undang terhadap tiga selebriti tempatan yang didakwa menyebarkan kenyataan berunsur fitnah di media sosial masing-masing.

Tindakan itu diambil susulan dakwaan tidak berasas oleh pelawak dan pelakon Mohamad Amirullah Azmi (Amir Raja Lawak), Mohamad Ikhtiariudin Bin Naina Mohamad (Mamak Puteh), serta Abu Musariff bin Abu Bakar (Abu Mamu) yang mendakwa Awesome TV gagal melunaskan bayaran penglibatan mereka dalam program-program televisyen terbitan saluran tersebut.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan, Awesome TV menjelaskan bahawa semua program yang disiarkan di saluran berkenaan diterbitkan sepenuhnya oleh syarikat produksi luar (production house). Oleh itu, sebarang urusan berkaitan kontrak dan pembayaran artis adalah tanggungjawab penuh pihak produksi dan bukan pihak stesen.

“Kenyataan fitnah yang dikeluarkan oleh ketiga-tiga individu tersebut telah menjejaskan imej serta reputasi Awesome TV,” jelas kenyataan itu.

Baca juga:

Pihak Awesome juga memaklumkan mereka terkejut apabila isu berkenaan turut dibangkitkan di Dewan Rakyat oleh Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syereleena Abdul Rashid, tanpa pemeriksaan fakta yang teliti, sekali gus mengundang kekeliruan serta memberi gambaran tidak tepat terhadap Awesome TV.

“Sebagai ahli parlimen, beliau sepatutnya berlaku adil menyiasat fakta sebelum mengeluarkan kenyataan yang tidak benar,” tegas Awesome TV.

Sehubungan itu, pihak Awesome TV telah mengarahkan firma guaman Shafie & Co untuk memfailkan saman berunsur fitnah terhadap individu terlibat bagi melindungi integriti dan nama baik saluran tersebut.

“Awesome TV memandang serius sebarang tuduhan yang tidak berasas dan sebarang usaha untuk mencemarkan nama baik kami,” katanya.

Pihak Awesome TV turut menegaskan komitmen mereka untuk terus menyediakan kandungan berkualiti kepada rakyat Malaysia serta mempertahankan hak dan reputasi syarikat menerusi saluran undang-undang yang sewajarnya.