Axiata kurangkan pinjaman kepada RM6.6 bilion, keuntungan asas meningkat lebih tiga kali ganda

LocalBusiness & Finance
27 Nov 2026 • 3:34 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Axiata kurangkan pinjaman kepada RM6.6 bilion, keuntungan asas meningkat lebih tiga kali ganda Image from: Axiata kurangkan pinjaman kepada RM6.6 bilion, keuntungan asas meningkat lebih tiga kali ganda sarah27/11/2026 - 15:34 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 Nov - Axiata Group Bhd (Axiata) terus memperkukuh kedudukan kewangannya dengan mengurangkan pinjaman di peringkat syarikat induk sebanyak 8.4% kepada RM6.6 bilion, manakala keuntungan asas selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) meningkat lebih tiga kali ganda kepada RM1 bilion bagi sembilan bulan pertama 2026, berdasarkan kadar pertukaran mata wang tetap.

 

Kumpulan itu turut menerima dividen berjumlah RM1.1 bilion daripada syarikat operasinya, termasuk entiti di bawah kawalan bersama, sekali gus memperkukuh penjanaan tunai di peringkat syarikat induk.

 

Axiata dalam kenyataan hari ini berkata, langkah pengurusan hutangnya turut melibatkan penebusan awal sebahagian Nota Jangka Sederhana Euro (EMTN) bernilai RM336.4 juta, yang menghasilkan keuntungan RM92.3 juta pada suku ketiga 2026.

 

Langkah tersebut, berserta pembayaran balik hutang oleh Robi, membantu menurunkan nisbah hutang bersih kepada pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kumpulan kepada 2.49 kali berbanding 2.63 kali pada suku sebelumnya.

 

Urus niaga EDOTCO berpotensi kurangkan lagi hutang

Axiata berkata, cadangan urus niaga melibatkan EDOTCO yang diumumkan baru-baru ini berpotensi menjana hasil kasar melebihi RM2.2 bilion kepada kumpulan, sekali gus menyokong usaha mengurangkan lagi hutang dan memperkukuh kedudukan kewangannya.

 

Selepas urus niaga itu selesai, Axiata dan Khazanah Nasional Bhd akan menjadi pemegang saham dengan pegangan sama rata serta mempunyai kawalan bersama terhadap EDOTCO, sambil membolehkan Axiata terus menikmati manfaat pertumbuhan perniagaan EDOTCO di Malaysia.

 

Pengerusi Axiata, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan berkata, pengurusan portfolio secara aktif dan penggunaan semula modal merupakan sebahagian daripada strategi Axiata28: Advancing Asia untuk memperkukuh perniagaan serta memastikan modal disalurkan kepada pelaburan yang mampu menjana nilai jangka panjang.

 

Penggabungan XLSMART pacu keuntungan

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan Axiata, Nik Rizal Kamil berkata, manfaat penggabungan XLSMART serta pemulihan keadaan pasaran di Indonesia menjadi antara penyumbang utama kepada peningkatan keuntungan asas kumpulan, selain prestasi lebih baik Dialog dan Robi.

 

Di Malaysia, CelcomDigi mencatatkan penjimatan kos sebanyak RM282 juta sepanjang sembilan bulan pertama 2026, manakala dalam segmen teknologi, pendapatan ADA meningkat 33.6% kepada RM942.7 juta dan jumlah pinjaman Boost Bank berkembang kepada RM550 juta.

 

Bagaimanapun, Axiata mencatatkan kerugian rosot nilai muhibah sebanyak RM366 juta bagi Linknet berikutan ketidaktentuan ekonomi di Indonesia, dengan kos pinjaman yang tinggi terus memberi tekanan kepada pulangan pelaburan dan penilaian perniagaan berkenaan.

 

Pendapatan sembilan bulan RM8.8 bilion

Bagi sembilan bulan pertama 2026, Axiata mencatatkan pendapatan dilaporkan sebanyak RM8.8 bilion, manakala EBITDA meningkat 2% dan pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) berkembang 30.7% berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

Berdasarkan kadar pertukaran mata wang tetap, pendapatan kumpulan meningkat 9.3%, EBITDA berkembang 12.8% dan EBIT melonjak 48.2%, mencerminkan prestasi lebih kukuh perniagaan telekomunikasi dan teknologi meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi serta geopolitik global. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved