Keuntungan Petronas Dagangan meningkat 6% kepada RM913.5 juta bagi sembilan bulan pertama 2026

LocalBusiness & Finance
27 Nov 2026 • 3:06 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Keuntungan Petronas Dagangan meningkat 6% kepada RM913.5 juta bagi sembilan bulan pertama 2026 Image from: Keuntungan Petronas Dagangan meningkat 6% kepada RM913.5 juta bagi sembilan bulan pertama 2026 sarah27/11/2026 - 15:06 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 Nov - Petronas Dagangan Bhd (PDB) mencatatkan peningkatan keuntungan selepas cukai sebanyak 6% kepada RM913.5 juta bagi sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026 (9MFY2026), berbanding RM863.2 juta dalam tempoh sama tahun lalu, disokong prestasi lebih baik segmen komersial.

 

Pendapatan kumpulan melonjak 54% kepada RM42.76 bilion daripada RM27.69 bilion, didorong peningkatan harga jualan purata sebanyak 52% serta pertumbuhan jumlah jualan sebanyak 2%.

 

Menurut laporan kewangan PDB kepada Bursa Malaysia hari ini, keuntungan sebelum cukai meningkat 3% kepada RM1.21 bilion, meskipun berdepan ketidaktentuan pasaran minyak global dan peningkatan kos produk import susulan penutupan sementara kilang penapisan minyak di Melaka bagi kerja penyelenggaraan utama.

 

Segmen komersial pacu pertumbuhan

Segmen komersial menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan keuntungan kumpulan apabila keuntungan sebelum cukainya meningkat 9% kepada RM578.9 juta, disokong keuntungan kasar lebih tinggi, khususnya daripada jualan diesel komersial.

 

Pendapatan segmen berkenaan meningkat 41% kepada RM18.33 bilion, terutamanya didorong kenaikan harga jualan purata sebanyak 47%.

 

Segmen runcit pula mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 67% kepada RM24.23 bilion, disokong kenaikan harga jualan purata sebanyak 57% serta pertumbuhan jumlah jualan sebanyak 6%, terutamanya petrol dan diesel.

 

Bagaimanapun, keuntungan sebelum cukai segmen runcit menyusut 4% kepada RM508.6 juta berikutan peningkatan perbelanjaan dan kos produk import yang lebih tinggi.

 

Segmen perniagaan bukan bahan api pula mencatatkan peningkatan keuntungan sebelum cukai sebanyak 3% kepada RM98.4 juta, manakala pendapatan meningkat 2% kepada RM192.5 juta, disokong prestasi jualan barangan yang lebih baik.

 

Kos import bahan api jejas prestasi suku ketiga

Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (3QFY2026), keuntungan bersih PDB merosot kepada RM218.52 juta daripada RM281.25 juta setahun sebelumnya, meskipun pendapatan melonjak 63% kepada RM15.52 bilion.

 

Prestasi suku berkenaan terjejas akibat kos produk import yang lebih tinggi susulan penutupan sementara kilang penapisan minyak di Melaka serta trend harga bahan api penerbangan Jet A1 yang kurang menggalakkan.

 

Melangkah ke hadapan, PDB menjangkakan perbelanjaan pengguna, aktiviti komersial dan pelancongan domestik terus menyokong perniagaannya, meskipun pasaran minyak global dijangka kekal tidak menentu berikutan perkembangan geopolitik.

 

Lembaga pengarah PDB turut mengisytiharkan dividen interim sebanyak 25 sen sesaham berjumlah RM248.36 juta, berbanding 24 sen sesaham bagi suku sama tahun lalu, yang akan dibayar pada 24 Disember 2026 dengan tarikh kelayakan pada 14 Disember 2026. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved