hamden29/04/2026 - 18:13 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 April - Axis Real Estate Investment Trust (Axis-REIT) memulakan tahun kewangan 2026 dengan prestasi memberangsangkan apabila mencatat peningkatan 8.3% tahun ke tahun bagi pendapatan amanah bersih pada suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (1QFY2026).
Dalam kenyataan hari ini, Axis-REIT berkata jumlah pendapatan amanah bagi suku tersebut meningkat kepada RM90.6 juta berbanding RM89.9 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Pendapatan amanah bersih pula naik kepada RM53.2 juta daripada RM49.1 juta, disokong oleh aliran pendapatan sewaan berulang yang stabil daripada portfolio hartanah industri sedia ada.
Syarikat turut mencatat peningkatan jumlah nilai aset kepada RM5.45 bilion, manakala nilai aset bersih (NAV) meningkat kepada RM3.42 bilion, mencerminkan pertumbuhan berterusan portfolio pelaburannya.
Sepanjang suku tersebut, Axis-REIT memperluaskan portfolionya kepada 70 hartanah selepas melengkapkan pengambilalihan Axis Industrial Facility 1 @ Northport.
Selain itu, Axis-REIT sedang memuktamadkan dua cadangan pengambilalihan bernilai RM114.6 juta serta merancang dua projek pembangunan baharu melibatkan fasiliti pembuatan dan gudang logistik dengan keluasan binaan gabungan kira-kira 254,000 kaki persegi.
Projek berkenaan dijangka menyumbang secara berperingkat kepada pendapatan kumpulan dengan jangkaan siap sekitar 2027.
Axis REIT Managers Berhad selaku syarikat pengurus kepada Axis-REIT mencadangkan agihan sebanyak 99% daripada pendapatan direalisasikan bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mac 2026.
Agihan pendapatan interim pertama sebanyak 2.50 sen seunit itu turut merangkumi komponen tidak bercukai sekitar 0.01 sen seunit, dan akan dibayar pada 29 Mei 2026, dengan tarikh tutup buku ditetapkan pada 14 Mei 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif yang juga Pengarah Eksekutif Axis REIT Managers Berhad, Leong Kit May berkata prestasi suku pertama itu disokong oleh kekuatan portfolio berfokuskan sektor industri.
“Walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik, portfolio kami kekal stabil dengan kadar penghunian kukuh, disokong oleh penyewa berkualiti dalam sektor pembuatan dan logistik,” katanya.
Beliau berkata lokasi strategik hartanah yang berhampiran infrastruktur utama seperti lebuh raya dan pelabuhan terus menjadi tarikan kepada penyewa industri.
“Dengan saluran pengambilalihan yang jelas serta projek pembangunan baharu, kami yakin dapat terus menjana pertumbuhan pendapatan mampan,” katanya.
Axis-REIT berkata pihaknya akan terus mengoptimumkan portfolio sedia ada bagi meningkatkan pulangan serta memberikan nilai jangka panjang kepada pemegang unit. - DagangNews.com






