hamden24/04/2026 - 14:44 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 April - Unisem (M) Bhd mencatat kerugian bersih sebanyak RM13.36 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (1QFY2026), susulan peningkatan kos pengeluaran yang menjejaskan margin keuntungan kumpulan.
Syarikat semikonduktor itu merekodkan keuntungan bersih RM6 juta pada tempoh sama tahun lalu, manakala kali terakhir ia mencatatkan kerugian adalah kira-kira enam tahun lalu.
Prestasi suku semasa turut menyaksikan keuntungan kasar merosot ketara sebanyak 65.7% kepada RM9.11 juta berbanding RM26.54 juta sebelumnya.
Seiring itu, margin keuntungan kasar susut kepada 1.96% daripada 6.26%, mencerminkan tekanan kos yang semakin meningkat dalam operasi syarikat.
Bagaimanapun, hasil kumpulan meningkat 9.7% tahun ke tahun kepada RM464.75 juta berbanding RM423.62 juta, didorong oleh pertambahan volum jualan merentasi unit operasi utama.
Unisem tidak mengisytiharkan sebarang dividen bagi suku tersebut.
Mengulas prospek, kumpulan itu menjangkakan persekitaran operasi kekal mencabar, dipengaruhi tekanan kos yang berterusan serta ketidaktentuan kadar pertukaran asing, termasuk kelemahan dolar AS.
Namun begitu, Unisem kekal optimistik terhadap pertumbuhan jangka sederhana, disokong oleh permintaan dalam aplikasi berkaitan kecerdasan buatan (AI) serta pelaburan berterusan dalam infrastruktur pusat data.
Sehubungan itu, syarikat akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan inisiatif pengoptimuman kos secara berdisiplin dan penambahbaikan operasi bagi meningkatkan kecekapan serta mengurangkan tekanan terhadap margin keuntungan. - DagangNews.com





