Axis REIT dijangka raih pendapatan sewa RM7.9 juta setahun mulai FY27 daripada urus niaga pusat pengedaran City-Link - RHB Research

LocalBusiness & Finance
26 Jun 2026 • 9:41 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Axis REIT dijangka raih pendapatan sewa RM7.9 juta setahun mulai FY27 daripada urus niaga pusat pengedaran City-Link - RHB Research Image from: Axis REIT dijangka raih pendapatan sewa RM7.9 juta setahun mulai FY27 daripada urus niaga pusat pengedaran City-Link - RHB Research hamden26/06/2026 - 09:41 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Jun – Pemerolehan aset terbaharu oleh Axis Real Estate Investment Trust (Axis REIT) dijangka memberi impak positif kepada prestasi kewangannya mulai tahun kewangan 2027 (FY27), disokong sumbangan pendapatan sewa tahunan sekitar RM7.9 juta.

 

RHB Research berpandangan, urus niaga itu adalah positif kerana dijangka menyumbang kira-kira 2% kepada unjuran hasil FY27, selain menawarkan hasil kasar sebanyak 6.2% sebelum mengambil kira kos pembiayaan daripada pinjaman baharu.

 

Menurutnya lagi, pemerolehan tersebut juga dijangka meningkatkan pulangan bersih berbanding unjuran hasil semasa FY27F Axis REIT sebanyak 5.3%, sekali gus mengukuhkan lagi profil pendapatan dana pelaburan hartanah itu.

 

Selain itu, struktur pajakan semula selama 15 tahun kepada pengendali sedia ada, bersama mekanisme kenaikan kadar sewa yang telah dipersetujui, dijangka meningkatkan keterlihatan pendapatan dalam tempoh jangka sederhana.

 

"Dengan tempoh pajakan yang panjang serta kenaikan sewa yang telah ditetapkan, Axis REIT berpotensi menikmati aliran pendapatan yang lebih stabil dan boleh dijangka," kata firma penyelidikan itu dalam nota penyelidikan.

 

Axis REIT memperoleh hartanah berkenaan secara tunai pada harga RM128 juta, bersamaan kira-kira 2% daripada jumlah asetnya, dengan pembiayaan menggunakan kemudahan pinjaman bank sedia ada.

 

Urus niaga berkenaan dijangka dimuktamadkan pada suku keempat 2026.

 

Selepas selesai pemerolehan, nisbah penggearan Axis REIT dijangka meningkat kepada sekitar 35.1%, namun masih mempunyai ruang pembiayaan tambahan kira-kira RM840 juta berdasarkan kedudukan kewangan suku pertama FY26.

 

Aset yang diperoleh itu terdiri daripada dua lot tanah komersial pegangan pajakan 99 tahun dengan baki tempoh pajakan sekitar 68 tahun, bersama bangunan pusat pengedaran, blok pejabat dan kemudahan sokongan.

 

Ia mempunyai keluasan boleh disewa kira-kira 355,000 kaki persegi dan terletak di lokasi strategik Bandar Saujana Putra dengan akses terus ke Lebuhraya ELITE, SKVE, WCE dan KESAS, menjadikannya sesuai sebagai hab logistik dan pengedaran.

 

Walaupun keseluruhan pemerolehan dibiayai melalui pinjaman, tahap penggearan selepas urus niaga dijangka kekal pada paras yang terkawal.

 

Keadaan itu membolehkan Axis REIT mengekalkan fleksibiliti kewangan dan kapasiti kunci kira-kira yang mencukupi bagi meneruskan strategi pemerolehan aset baharu pada masa hadapan.

 

RHB Research mengekalkan saranan "Beli" terhadap Axis dengan harga sasaran (TP) RM2.42. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved