VS Industry dijangka pulih secara beransur-ansur mulai 4QFY26, sasaran harga disemak kepada RM0.31 - RHB Research

LocalBusiness & Finance
22 Jun 2026 • 9:31 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

VS Industry dijangka pulih secara beransur-ansur mulai 4QFY26, sasaran harga disemak kepada RM0.31 - RHB Research Image from: VS Industry dijangka pulih secara beransur-ansur mulai 4QFY26, sasaran harga disemak kepada RM0.31 - RHB Research hamden22/06/2026 - 09:31 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 Jun - Prospek pemulihan pendapatan yang dijangka bermula pada suku keempat tahun kewangan 2026 (4QFY26) mendorong RHB Research mengekalkan saranan “Beli” terhadap saham VS Industry Holdings Bhd (VSI) walaupun prestasi sembilan bulan tahun kewangan 2026 (9MFY26) berada di bawah jangkaan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pemulihan beransur-ansur dijangka disokong oleh peningkatan pesanan pelanggan utama, faktor musim yang lebih kukuh serta sumbangan program baharu yang akan mula menyumbang kepada pendapatan kumpulan.

 

Selain itu, operasi VSI di Filipina dijangka menghampiri tahap pulang modal pada FY27 apabila jumlah pengeluaran meningkat, termasuk menerusi program baharu bernilai kira-kira RM100 juta setahun yang dijadual bermula pada separuh kedua 2026.

 

“Dengan sebahagian besar inisiatif pengurangan kos pelanggan utama telah selesai, kadar penggunaan kapasiti dijangka bertambah baik secara progresif sekali gus menyokong pemulihan margin dan keuntungan kumpulan.

 

“Kedudukan kewangan VSI yang sihat juga membolehkannya merebut peluang pertambahan bahagian pasaran ketika industri sedang melalui proses penyatuan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Bagaimanapun, firma itu menurunkan harga sasaran (TP) saham VSI kepada RM0.31 daripada RM0.45 sebelum ini selepas menyemak semula unjuran pendapatan, namun mengekalkan saranan “Beli” berdasarkan potensi kenaikan sekitar 55% serta jangkaan hasil dividen FY27F kira-kira 7%.

 

Rugi RM31.9 juta 9MFY26

Keputusan 9MFY26 VSI menunjukkan kerugian bersih teras sebanyak RM31.9 juta, jauh di bawah jangkaan pasaran berikutan pesanan pelanggan utama yang lebih lemah daripada jangkaan dan tekanan margin akibat kadar penggunaan kapasiti yang rendah.

 

Hasil bagi tempoh tersebut merosot 9.5% tahun ke tahun kepada RM2.65 bilion berikutan permintaan pasaran akhir yang masih lembap.

 

Keadaan itu turut menjejaskan margin keuntungan kasar (GPM) yang susut kepada 3.2% berbanding 7.9% dalam tempoh sama tahun sebelumnya apabila kos tetap tidak dapat diserap secara optimum.

 

Pada masa sama, operasi di Filipina masih mencatat kerugian RM35 juta bagi tempoh 9MFY26 ketika berada dalam fasa peningkatan kapasiti pengeluaran.

 

Bagi suku ketiga FY26 (3QFY26), hasil meningkat 4.5% suku ke suku kepada RM804 juta hasil pemulihan pesanan pelanggan selepas prestasi yang sangat lemah pada suku sebelumnya.

 

Walaupun kerugian operasi di Filipina berjaya dikurangkan kepada RM7 juta berbanding RM19 juta pada 2QFY26, VSI masih merekodkan kerugian bersih RM32.9 juta bagi suku tersebut.

 

Susulan keputusan itu, firma penyelidikan berkenaan kini menjangkakan VSI mencatat kerugian bersih teras FY26 sebanyak RM12.6 juta berbanding unjuran keuntungan RM26.6 juta sebelum ini.

 

Malah, unjuran pendapatan FY27F dan FY28F turut dikurangkan masing-masing sebanyak 30% dan 32% selepas semakan semula andaian jualan dan margin jangka sederhana.

 

Potensi Pemulihan

Namun, VSI dilihat masih menarik dari sudut penilaian apabila sahamnya kini didagangkan hampir dua sisihan piawai di bawah purata lima tahun, sekali gus mencerminkan potensi pemulihan pendapatan yang belum diambil kira sepenuhnya oleh pasaran.

 

Antara risiko utama kepada prospek kumpulan termasuk kelemahan berterusan permintaan pengguna global serta kemungkinan kehilangan pelanggan utama. - DagangNews.com

Terkini standard