Axis-REIT kekal sebagai proksi utama sektor hartanah industri disokong pertumbuhan stabil - penganalisis

08/09/2025 - 09:58
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 8 Sept - Axis Real Estate Investment Trust (Axis-REIT) terus dilihat sebagai proksi utama kepada sektor hartanah industri disokong strategi pertumbuhan bukan organik yang stabil serta keupayaan pelaksanaan yang cemerlang, kata penganalisis.
RHB Research berkata, walaupun pasaran hartanah komersial berdepan cabaran, segmen industri kekal kukuh dipacu permintaan daripada syarikat logistik, pengeluaran dan global yang mencari lokasi strategik di Malaysia.
Katanya, Axis-REIT, melalui rekod pengambilalihan aset berdisiplin serta pengurusan yang efektif, berada pada kedudukan baik untuk memanfaatkan trend itu.
“Axis-REIT mempunyai kekuatan kewangan untuk meneruskan pengambilalihan baharu yang menawarkan pulangan baik ditambah kadar faedah semasa yang lebih kondusif memberikan sokongan kepada strategi pembiayaan REIT ini,” katanya dalam satu nota kajian.
Terdahulu, kumpulan itu melaksanakan pengambilalihan kedua pada tahun ini, iaitu sebuah fasiliti industri di Bandar Sultan Suleiman, Port Klang bernilai RM50 juta.
Walaupun saiz transaksi itu kecil, penganalisis berpandangan langkah tersebut selaras dengan strategi pengembangan berterusan dan menambah potensi pendapatan sebaik sahaja hartanah tersebut disewakan.
Dengan prospek sektor hartanah industri yang terus positif – didorong oleh pertumbuhan e-dagang, pengembangan pusat data, dan kedudukan Malaysia sebagai hab serantau – Axis-REIT dijangka mengekalkan kedudukan sebagai peneraju REIT industri di pasaran tempatan.
Sementara itu MBSB Research berkata, walaupun pengambilalihan aset itu selaras dengan strategi Axis-REIT untuk mengembangkan portfolio aset industri, pihaknya bersikap neutral terhadap transaksi itu kerana hartanah tersebut masih belum diduduki, justeru hasil pulangan pengambilalihan itu masih belum jelas.
Katanya, Axis-REIT lazimnya memperoleh aset dengan penyewa dan pajakan jangka panjang, dengan hasil pengambilalihan melebihi 6%.
Firma penyelidikan itu berkata, Axis-REIT menjangkakan penyewa berpotensi akan dikenal pasti menjelang tarikh penyiapan perjanjian jual beli (SPA).
"Kami berpendapat hal ini tidak menjadi isu bagi Axis-REIT memandangkan kepakaran mereka dalam menyewakan hartanah industri.
"Dengan andaian Axis-REIT menyasarkan untuk memperoleh hasil sewaan sebanyak 6.5% bagi aset di Klang, kami menganggarkan potensi sumbangan pendapatan kira-kira RM1 juta setahun selepas ditolak kos pembiayaan pada kadar 4.2%.
"Kami mengekalkan unjuran pendapatan buat masa ini sementara menunggu penyempurnaan pengambilalihan serta maklumat lanjut mengenai potensi hasil sewaan," katanya.
MBSB Research mengekalkan saranan "neutral" dengan harga sasaran (TP) RM2.07 sesaham.- DagangNews.com
standard

