Reformasi cukai gula di UAE diyakini pacu pertumbuhan Power Root di Asia Barat - Kenanga

LocalBusiness & Finance
8 Sep 2025 • 12:08 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Reformasi cukai gula di UAE diyakini pacu pertumbuhan Power Root di Asia Barat - Kenanga

image is not available

08/09/2025 - 12:08

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Sept - Reformasi cukai gula di Emiriah Arab Bersatu (UAE) berkuat kuasa awal 2026 diyakini menjadi pemangkin utama pertumbuhan Power Root Berhad di Asia Barat walaupun sebahagian daripada produknya berdepan cabaran jualan, kata Kenanga Research.

Katanya, cukai eksais sedia ada iaitu 50% bagi minuman bergula dan 100% bagi minuman tenaga bakal diganti dengan sistem berperingkat mengikut kandungan gula.

Firma penyelidikan itu berkata, memandangkan kebanyakan produk Power Root diformulasikan semula kepada kurang daripada 5 gram gula bagi setiap 100ml, pengurusan percaya produk syarikat berpotensi mendapat pengecualian cukai.

"Harga runcit di UAE boleh turun sehingga separuh, sekali gus meningkatkan daya saing dan jumlah jualan.

"Bagaimanapun, Arab Saudi masih mengekalkan cukai eksais rata 50% ke atas minuman bergula dan 100% ke atas minuman tenaga, yang terus memberi tekanan terhadap prestasi syarikat di pasaran itu. Namun, kumpulan itu berharap negara-negara lain dalam Majlis Kerjasama Teluk (GCC) akan mengikut jejak UAE," katanya dalam satu nota kajian.

Kenanga Research berkata, harga kopi global kekal tinggi akibat gangguan bekalan dan risiko cuaca, tetapi Power Root telah mengunci kos biji kopi sehingga akhir FY26.

Katanya, syarikat juga melaksanakan kenaikan harga purata 6% pada Mac 2025 untuk mengimbangi tekanan kos input, sambil mendapat manfaat daripada penurunan harga gula dan krimer.

"Usaha hiliran kumpulan dalam bidang penanaman dan pemprosesan kopi masih di peringkat awal, dengan kerja pembersihan tanah dijadual bermula pada Oktober 2025," katanya.

Firma penyelidikan itu menyukai Power Root kerana kedudukannya sebagai antara pengeluar kopi terbesar Malaysia dan inisiatif pemasaran strategik bagi meningkatkan kesedaran jenama bagi produk seperti Alicafe, Per’l dan Ah Huat.

Katanya, risiko penghakisan kedudukan di pasaran eksport utama, iaitu Asia Barat bersama harga komoditi utama yang kekal tinggi terutamanya biji kopi, mungkin memberi cabaran kepada margin syarikat.

"Kami menaikkan penarafan kumpulan kepada "market perform" berbanding "underperform" dengan harga sasaran RM1.20 sesaham," katanya.- DagangNews.com

standard