
KLUANG – Seorang murid terpaksa menghabiskan masa sehingga dua jam di Pekan Kahang yang terletak kira-kira 10 kilometer dari rumahnya demi mengikuti pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR).
Itulah cabaran dihadapi Abu Muaz Mohd. Zaid, 11, yang tinggal di Kampung Sri Lukut, Kahang apabila capaian internet di kampungnya terlalu lemah.
Katanya, bapanya terpaksa membawanya ke pekan setiap hari bagi memastikan dia dapat mengikuti kelas dalam talian dan menyiapkan tugasan yang diberikan guru terutama ketika sekolah ditutup akibat jerebu.
“Kalau berada di kampung, memang susah hendak mendapatkan liputan internet yang baik. Sebab itu, ayah perlu membawa saya ke Pekan Kahang supaya dapat mengikuti PdPR dengan lebih lancar.
“Biasanya, saya ambil masa kira-kira dua jam untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan cikgu,” katanya di sini.
Masalah liputan internet lemah itu turut menjejaskan ratusan pelajar lain di Kampung Sri Lukut dan Kampung Temigol yang turut berdepan kesukaran mengikuti PdPR.
Seorang pesara guru, Sanip Hashim berkata, isu itu sudah berlarutan sejak setahun lalu selepas menara pemancar dikatakan mengalami kerosakan, namun masih belum dibaik pulih sepenuhnya hingga kini.
“Kira-kira 1,500 penduduk daripada 330 keluarga menetap di dua kampung berkenaan.
“Ratusan pelajar dari kampung berkenaan bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kahang, Sekolah Agama Kahang Batu 28 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kahang,” katanya.
Katanya, isu sama turut dihadapi penduduk di Ladang Felcra, Ladang Mustakim dan Ladang Pertubuhan Peladang Negeri Johor yang terletak berhampiran lokasi itu.
The post Ayah redah 10km setiap hari demi PdPR anak appeared first on Kosmo Online.






