Hanya 30 peratus murid sekolah rendah ikuti PdPR

LocalFamily & Parenting
13 Oct 2026 • 7:35 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Hanya 30 peratus murid sekolah  rendah ikuti PdPR

JOHOR BAHRU: Kurang daripada 30 peratus murid sekolah rendah di Johor mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) susulan penutupan sekolah akibat jerebu, berbanding kira-kira 70 peratus bagi pelajar sekolah menengah.

Pengerusi Persatuan Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti Swasta Negeri Johor, Datuk Yahya Jaafar berkata, kadar penyertaan rendah itu dipercayai berpunca daripada kekangan ibu bapa yang bekerja, selain kekurangan peranti dan ketiadaan bimbingan di rumah.

Beliau berkata, situasi itu menimbulkan kebimbangan ke­rana tempoh penutupan sekolah berikutan jerebu yang panjang boleh menjejaskan kelancaran pembelajaran murid, khususnya calon Sijil Pelajaran Malaysia yang perlu membuat persediaan menghadapi peperiksaan.

“Ketika pandemik Covid-19, ibu bapa kebanyakkannya berada di rumah untuk membim­bing anak-anak mengikuti PdPR. Namun, keadaan kini berbeza ke­rana ramai ibu bapa bekerja dan tidak dapat memantau pem­belajaran anak-anak secara langsung,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.

Yahya berkata, antara langkah yang boleh dipertimbangkan jika persekolahan terus diadakan secara fizikal adalah mempertimbangkan pemakaian pelitup muka di dalam kelas.

“Pergerakan murid juga boleh dihadkan khususnya di kawasan-kawasan terbuka bagi mengurangkan pendedahan murid dan pelajar kepada udara tercemar.

“Bagi sekolah berasrama pula, pengajaran dan pembelajaran boleh dilaksana dalam asrama dengan guru turun membimbing murid, sekali gus mengawal pergerakan mereka,” katanya.

Menurut Yahya, antara langkah lain termasuklah agar kerajaan dan majikan memberi kelonggaran cuti kepada ibu bapa, termasuk menggunakan cuti tahunan atau cuti bencana sekiranya bersesuaian, bagi membolehkan mereka membimbing anak-anak mengikuti PdPR di rumah.

“Langkah ini penting terutama bagi murid sekolah rendah yang masih memerlukan pemantauan rapat, selain memastikan proses pembelajaran tidak terjejas terlalu lama,” katanya. – UTUSAN

The post Hanya 30 peratus murid sekolah rendah ikuti PdPR appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved