
KUALA LUMPUR: “Saya lebih sukakan Ayam Gepuk Malaysia.”
Demikian kata pelakon Indonesia, Asmara Abigail, 34, yang berpandangan menu masakan Ayam Gepuk Malaysia lebih sedap berbanding yang dihasilkan di Indonesia.
Asmara memaklumkan sajian tersebut merupakan antara menu makanan yang akan dicarinya apabila berada di Kuala Lumpur bagi tujuan kerja atau bercuti.
“Pada pandangan saya, Ayam Gepuk di Kuala Lumpur lebih menyelerakan berbanding di Indonesia, mereka menghasilkan sajian yang lebih sedap,” ujarnya ringkas.
Asmara berkata demikian selepas tayangan filem Peluru Senja (The Ghost and The Gun) di GSC Lalaport, semalam.
Dalam masa yang sama, Asmara yang akan berada di KL sehingga September meluahkan rasa senangnya dengan bandar ini.
“Saya suka Malaysia. Bandar Kuala Lumpur ‘hidup’. lebih-lebih lagi saya bebas menaiki kenderaan awam di sini,” ujarnya.
Mengulas tentang filem Peluru Senja (The Ghost and The Gun), Asmara memaklumkan berdepan cabaran apa lagi melakonkan watak Siti yang merupakan orang tempatan.
“Untuk menghidupkan watak seorang perempuan Melayu berasal Pahang bukan kerja mudah.
“Tapi saya gembira kerana ini adalah filem perjuangan yang akan ditayangkan sempena hari Kemerdekaan.
“Bagi saya ini adalah satu penghargaan yang amat besar apabila pelakon indonesia diberi kepercayaan membawa watak dan cerita sebegini.
“Saya mengharapkan filem ini berjaya memenangi hati audien. Saya harap mereka sukakan filem ini,” ujarnya.
Filem Peluru Senja (The Ghost and The Gun) yang turut dibintangi Hazman Al-Idrus, Fabian Loo, Brett Tutor dan ramai lagi akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 28 Ogos ini. – UTUSAN
The post Ayam gepuk Malaysia lebih sedap – Asmara Abigail appeared first on Utusan Malaysia.






