Perang siber Malaysia-Indonesia, Aisha Retno tersepit

23 Aug 2026 • 5:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Perang siber Malaysia-Indonesia, Aisha Retno tersepit

PERDEBATAN dua negara, Malaysia dan Indonesia dalam media sosial bukan baru semalam berlaku, malah sudah terjadi bertahun-tahun lamanya.

Bagaikan tidak berkesudahan, warga dua negara masing-masing bertikam lidah, menegakkan budaya siapa lebih hebat, siapa lebih ke depan dan mendunia.

Tambah pula dengan kewujudan pelbagai platform media sosial yang menjadi lapangan kepada perang ideologi antara dua negara. Bertambah rancak apa yang dinamakan ‘jagus siber’ dalam melontarkan hujah masing-masing.

Lebih merisaukan sebenarnya kewujudan akaun palsu, yang sengaja diada-adakan memarakkan api kebencian dengan menabur sentimen kenegaraan masing-masing demi kepentingan politik masing-masing.

Penyanyi, Aisha Retno, yang berketurunan dua negara, Malaysia dan Indonesia enggan mengambil serius berdebatan ini.

Meskipun tidak dapat menidakkan ‘perang mulut’ antara netizen Malaysia dengan Indonesia, Aisha lebih berhati-hati dan mengambil pendekatan yang bersifat kesamarataan apabila dihujani persoalan siapa lebih hebat, Malaysia atau Indonesia.

Bagaimana Aisha melihat apabila netizen dua negara saling bercakaran mengenai siapa lebih hebat ini?

Isu ini tidak perlu diperbesarkan. Sampai bila pun saya akan kata yang saya bangga mempunyai dua keturunan, iaitu Indonesia dan Malaysia. Tiada siapa mampu menidakkan hakikat tersebut.

Kelihatannya Aisha cuba berlaku adil kepada kedua-dua negara dengan mengangkat budaya dan nilai yang baik antara Malaysia dan Indonesia.

Saya bangga mempersembahkan budaya Malaysia. Lagu-lagu saya seperti Jodoh Lebaran, Ketipak Ketipung raya dan lagu joget dan lagu zapin yang akan saya hasilkan untuk Biduanita Negara, Siti Nurhaliza. Saya tetap sayangkan Malaysia. Pada masa sama, saya juga ada budaya Indonesia yang saya harus banggakan. Tradisi, budaya, pakaiannya yang perlu saya angkat.

Sebagai individu berdarah kacukan, adakah Aisha selesa dengan netizen dua negara di media sosial?

Perkara ini tidak perlu dirumitkan. Contoh seperti penyanyi antarabangsa, Ariana Grande juga berdarah campur, berturunan Itali dan pada masa sama berdarah kacukan Amerika Syarikat. Tak ada masalah itu dia bertutur kedua-kedua Bahasa, iaitu Itali dan Inggeris.

Tentu Aisha berasa tersepit, berada di tengah-tengah netizen dua negara yang saling bercakaran di alam maya.

Sebenarnya, ada risikonya apabila dilahirkan dalam dua keturunan berbeza, tetapi serumpun. Pasti orang tertanya-tanya, yang mana satu saya hendak angkat?

Apa pendekatan diambil Aisha untuk ‘menyerumpunkan’ kembali Malaysia dan Indonesia?

Apa pun saya mengambil pendekatan untuk berada di tengah-tengah, di antara budaya Malaysia dan Indonesia. Ambil yang baik dari kedua-dua negara.

Baru-baru ini muncul netizen Malaysia yang marah apabila Aisha berbahasa Indonesia ketika ditemu bual dalam rancangan tempatan. Pandangan Aisha?

Saya ambil positif setiap teguran. Mungkin selepas ini saya akan cuba melebihkan bercakap Melayu kerana itu platform Melayu berbanding bahasa Inggeris. Begitu juga apabila berada di Indonesia, saya akan lebih bercakap bahasa Indonesia.

Saya faham, ada risikonya dilahirkan dengan dua keturunan. Apa pun saya ‘enjoy’ kedua-duanya, ambil yang jernih, buang yang keruh. Saya bangga menjadi anak Malaysia dan Indonesia.

The post Perang siber Malaysia-Indonesia, Aisha Retno tersepit appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved