

Ayam Goreng Upin Ipin, Marilah Cuba Resipi Ini
Zaman sekarang ini, kanak-kanak gemar menonton televisyen, lagi-lagi kalau ada siaran kartun kegemaran mereka. Contohnya, siri kartun Upin dan Ipin. Dalam siri ini, ada satu makanan yang sering jadi tumpuan dua kembar itu.
Makanan itu tak lain, tak bukan, ayam goreng kegemaran Upin dan Ipin! Haaa, pernah tak anda terfikir, macam mana nak buat ayam goreng tu? Mesti anda fikir cara yang paling mudah ialah gaulkan peha ayam dengan serbut kunyit, kemudian goreng. Betul tak?
Kalau nak tahu, ada resipi lain yang boleh digunakan untuk membuat ayam goreng Upin dan Ipin ini. Ikuti resipi yang telah dikongsi oleh Jimmy Aisy ini.
Bahan Yang Diperlukan Untuk Ayam
Bahan yang paling penting sudah tentulah peha ayam. Kalau tak, tak jadilah ayam goreng Upin dan Ipin. Jadi, bahan pertama ialah peha ayam. Kemudian empat ulas bawang putih yang ditumbuk halus. Bahan yang terakhir adalah setengah inci halia yang ditumbuk halus.
Gaulkan peha ayam dengan kedua-dua bahan itu dan letakkan di tepi dulu.
Bahan Untuk Tepung Gorengan
Ayam dah selesai, kita beralih pula kepada tepung yang akan digunakan untuk menggoreng ayam ini. Bahan pertama ialah tiga sudu besar tepung gandum. Kedua, dua sudu besar tepung beras. Ketiga, satu sudu besar tepung ubi.
Kemudiannya, kita juga perlukan satu sudu kecil serbuk penaik, satu sudu kecil lada putih, dan satu sudu kecil biji lada hitam. Selain itu, tepung gorengan ini juga memerlukan satu sudu kecil ketumbar, satu sudu kecil jintan manis, dan dua sudu kecil jintan putih.
Bahan-bahan terakhir adalah garam Himalaya pink, dan perasa secukup rasa.
Cara-Cara Membuatnya
Mula-mula, masukkan kesemua tepung dalam satu bekas dan gaulkan sehingga rata. Sangai (goreng tanpa minyak) ketumbar, jintan manis dan jintan putih yang telah disediakan tadi dan dikisar halus. Kemudian, bahan-bahan itu dimasukkan ke dalam tepung dan digaul rata.
Masukkan juga serbuk penaik, garam, perasa, lada putih dan biji lada hitam ke dalam tepung dan gaul rata. Jika anda sukakan pedas dah mahu membuat resipi ayam goreng spicy anda boleh masukkan serbuk cili.
Untuk resipi ini, anda tidak memerlukan telur untuk memastikan tepung itu melekat pada ayam. Sebab, anda sudah ada tepung ubi dan serbuk penaik yang juga boleh membantu untuk menyalut ayam dengan tepung.
Ambil satu sudu besar tepung yang dibancuh dengan bumbu dan gaulkan pada peha ayam sehingga menjadi sedikit basah. Kemudian gaulkan dengan tepung yang banyak dengan rata.


Ketika menggoreng ayam, pastikan minyak banyak supaya ayam tenggelam. Biarkan minyak panas terlebih dahulu sebelum mula menggoreng untuk memastikan tepung terus melekat pada ayam.
Anda perlu menggunakan api perlahan supaya bahagian dalam ayam masak. Gorengkan ayam selama 8 hingga 10 minit. 4-5 minit untuk satu bahagian, dan 4-5 minit untuk bahagian yang lain. Ayam yang sedang digoreng tidak perlu diganggu.

Anda boleh menggunakan periuk nasi yang tidak lagi digunakan untuk menggoreng ayam.
Selepas itu, anda boleh mengangkat ayam yang sudah digoreng itu dan hidangkan. Jika anda ada tepung lebih, tepung itu bolehlah disimpan untuk digunakan lagi kemudian hari.

Senang atau susah resipi ini? Ada yang nak mencubanya ke? Kalau ada, selamat mencuba! Jangan lupa kongsi nanti!
Sumber: Jimmy Aisy via Masak Apa Hari Ni
The post Ayam Goreng Upin Ipin, Marilah Cuba Resipi Ini appeared first on Siakap Keli.


