‘Ayam Leher Panjang Disembelih Ikut Syarak’ - JAKIM

LocalPolitics
30 Nov 2024 • 5:37 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ayam yang kelihatan dalam video terbabit sudah diproses mengikut syarak - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Ayam yang kelihatan seolah-olah tidak disembelih mengikut hukum syarak seperti yang tular baru-baru ini disahkan telah diproses mengikut prosedur ditetapkan. 

Mengesahkan perkara tersebut jurucakap Seksyen Komunikasi Korporat dari Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkata, bahagian berkenaan menerima banyak pertanyaan melalui media sosial berhubung kes itu. 

Menurut beliau, sebuah hantaran video yang dimuat naik pengguna memaparkan keadaan ayam yang seolah-olah tidak disembelih mengikut syarak.

“Untuk makluman semua, keadaan tersebut berlaku kerana kesan daripada tindakan menarik kepala ayam menggunakan mesin head puller hingga menyebabkan kulit lehernya tertarik panjang. 

“Perkara ini telah menampakkan seperti tiada sembelihan dilakukan,” katanya. 

image is not available

Jelas jurucakap berkenaan, haiwan terbabit telah disahkan mati dengan mengikut kaedah syarak sebelum mesin itu digunakan. 

“Mesin head puller ini pula digunakan sebelum ayam dibungkus dalam pembungkusan akhir.

“Justeru, pengguna tidak perlu gusar dengan hantaran video tersebut.

“Bagaimanapun mereka dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dalam memilih sesuatu produk yang berada di pasaran dan pastikan produk yang dipilih adalah halalan toyyiban,” katanya. 

Jurucakap terbabit turut mengingatkan agar orang ramai menyemak terlebih dahulu kandungan yang dimuat naik di mana-mana platform media sosial sebelum disebarkan untuk tatapan umum. 

“Ikuti penjelasan berkenaan isu-isu halal yang tular melalui https://sites.google.com/islam.gov.my/skkbph/laman-utama,” katanya. 

Baru-baru ini tular di media sosial sebuah video yang mendakwa ayam dibeli dari sebuah pasar raya terkemuka tidak halal kerana tidak disembelih mengikut syarak.

Video berkenaan dimuat naik di pelbagai platform media sosial, bagaimanapun pemilik asalnya tidak dapat dipastikan. - Getaran, 30 November 2024