Konsol dwi-skrin Nintendo DS dilancarkan apada penghujung tahun 2004, dan memperlihatkan jualan sebanyak 154 juta unit di seluruh dunia, dan memperkenalkan ramai kanak-kanak dan dewasa muda dengan pengalaman gaming yang jarang diperlihatkan sebelumnya.
Kini dunia sudahpun beralih kepada konsol Nintendo Switch 2, tetapi reka-bentuk konsol Nintendo DS dilihat sebagai cukup ikonik, sehinggakan terdapat syarikat yang mahu menggunakannya dengan spesifikasi lebih moden.

Jenama tersebut ialah AYANEO, yang baru sahaja memperkenalkan konsol permainan terbaru mereka yang dinamakan AYANEO Pocket DS, sebuah konsol permainan dwi-skrin yang menggerakkan sistem operasi Android dan dikuasakan oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon G3x Gen 2 dan mempunyai pilihan gabungan memori dan storan dari 8GB+128GB sehingga 16GB+1TB.
Paparan utama di bahagian atas menggunakan panel OLED bersaiz tujuh inci dengan resolusi Full HD dan kadar segar semula 165Hz. Paparan kedua di bahagian bawah pula menggunakan panel LCD bersaiz lima inci dengan resolusi 1024×768 dengan nisbah paparan 4:3, menyerupai apa yang digunakan pada konsol Nintendo 3DS.

Lebih dari itu, ia juga hadir dengan butang-butang kawalan, arahan dan bahu seperti sebuah alat kawalan konsol, tetapi dimuatkan didalam rangka kecil ini. Komponen kawalan analog konsol ini juga menggunakan suis TMR (Tunnel Magnetoresistance) yang memiripi suis Hall Effect, menggunakan magnet dan menjanjikan input pergerakan yang bukan sahaja lebih jitu, tetapi menjanjikan jangka-hayat alat kawalan yang lebih lama.

Ia juga hadir dengan bateri terbina sebesar 8000mAH yang menyokong teknologi pengecasan pantas PowerDelivery, dan sistem penyejukan yang menggunakan kipas yang membolehkan konsol ini untuk sentiasa beroperasi pada suhu optima.

AYANEO baru sahaja membuka pra-tempahan untuk konsol Pocket DS ini di platform biayasama Indiegogo dengan harga permulaan RM1691 untuk spesifikasi memori dan storan 8GB+128GB, sehingga RM2709 untuk spesifikasi 16GB+1TB.
Konsol ini akan mula dijual secara rasmi dan juga dihantar kepada pembiaya awal menjelang Oktober 2025 ini.





