
MELAKA – Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang baharu bagi tempoh tiga tahun.
Pelantikan itu berkuat kuasa pada 16 September lalu selepas mendapat kelulusan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
Ayob Khan menggantikan Datuk Husaini Omar yang tamat tempoh perkhidmatannya sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah universiti berkenaan.
Menurut kenyataan UTeM hari ini, pengalaman luas Ayob Khan dalam bidang kepimpinan dan pengurusan tertinggi diyakini dapat memperkukuh peranan Lembaga Pengarah dalam menentukan hala tuju strategik universiti.
“UTeM percaya pengalaman hebat beliau, berpakejkan kewibawaan pengurusan strategik tahap tinggi mampu memimpin Lembaga Pengarah UTeM dalam mendepani cabaran mendatang,” katanya.
Untuk rekod, Ayob Khan memiliki Ijazah Sarjana Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan mempunyai pengalaman hampir 35 tahun dalam perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau pernah menjawat jawatan Ketua Polis Johor dari 2020 hingga 2022 sebelum dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).
Beliau kemudiannya dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) sebelum memegang jawatan Timbalan Ketua Polis Negara pada 2023.
Ayob Khan bersara wajib daripada perkhidmatan PDRM pada Julai lalu selepas hampir tiga setengah dekad berkhidmat dalam pasukan keselamatan itu.
Dalam pada itu, UTeM turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Husaini atas sumbangan, komitmen dan khidmat bakti sepanjang menerajui Lembaga Pengarah universiti berkenaan.
“Pelantikan Ayob Khan diharap dapat memperkukuh tadbir urus serta jaringan strategik UTeM dalam menyokong pembangunan pendidikan teknikal negara,”ujarnya lagi.
Habis.
The post Ayob Khan dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM appeared first on Kosmo Online.






