liza22/09/2026 - 09:07 Putri Norlisa Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Sept – Putri Norlisa Najib, anak sulung kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif CTOS Digital Bhd berkuat kuasa 25 September 2026.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, CTOS berkata Putri Norlisa, 45 mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang perundangan dan kini merupakan rakan kongsi pengurusan bersama di firma guaman Adnan Sundra & Low, jawatan yang disandang sejak 2023.
Beliau juga merupakan pengarah Noah Foundation, sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang ditubuhkan oleh harta pusaka dan keluarga Allahyarham Tan Sri Mohamed Noah Omar.
Dalam bidang perundangan, Putri Norlisa mempunyai pengalaman luas dalam urusan perbankan dan kewangan tempatan serta rentas sempadan termasuk pelbagai bentuk struktur pembiayaan.
Pengalaman luas dalam urusan korporat
Menurut CTOS Digital, selain bidang perbankan dan kewangan, Putri Norlisa turut aktif mengendalikan urusan korporat dan komersial, termasuk penggabungan dan pengambilalihan syarikat (M&A), perjanjian usaha sama serta transaksi pasaran modal.
Beliau juga mempunyai pengalaman dalam pembentukan pelan insentif jangka panjang dan memberikan khidmat nasihat berkaitan keperluan kawal selia bagi pelbagai industri di Malaysia.
Putri Norlisa memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan Kepujian serta Sarjana Undang-Undang dengan Kepujian dari University of Nottingham.
Pelantikan baharu ini adalah susulan persaraan Nirmala Doraisamy, 59, sebagai pengarah bukan eksekutif bebas pada 21 September 2026 selepas berkhidmat sejak 1 April 2021.
Nirmala sebelum ini turut memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Audit CTOS Digital dan tempatnya digantikan oleh Chan Siew Mei, 60, yang mempunyai 40 tahun pengalaman dalam bidang audit, perakaunan dan perundingan.
Chan pernah memegang jawatan sebagai ketua bahagian khidmat nasihat dan ketua pegawai kewangan di KPMG Malaysia. Beliau juga merupakan pengarah bebas AMMB Holdings Bhd. - DagangNews.com






