Ayob Khan Titip Pesanan Terakhir, Jangan Jual Maruah PDRM Demi Wang

LocalPolitics
26 Jul 2026 • 7:34 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: Ayob Khan Titip Pesanan Terakhir, Jangan Jual Maruah PDRM Demi Wang

KUALA LUMPUR – Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menitipkan pesanan terakhir yang penuh makna kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar sentiasa mempertahankan integriti serta tidak sesekali menggadaikan maruah pasukan demi kepentingan peribadi atau habuan wang.

Ucapan itu disampaikan beliau ketika Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur, pada Ahad, selepas menamatkan khidmat lebih 35 tahun bersama pasukan PDRM.

Jangan Rosakkan Nama Baik Pasukan

Dalam ucapan terakhirnya sebagai Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan menegaskan integriti perlu menjadi pegangan setiap pegawai dan anggota dalam memastikan amanah yang diberikan terus dipelihara.

“Jangan rosakkan pasukan ini hanya kerana kepentingan diri. Jangan jual maruah kerana wang.

“Jangan gunakan kuasa untuk menindas mereka yang lemah dan jangan sesekali lupa di sebalik setiap kuasa yang kita miliki, terdapat rakyat yang mengharapkan keadilan,” katanya.

Integriti Diukur Ketika Tiada Siapa Melihat

Menurut beliau, nilai integriti bukan diukur ketika seseorang dipuji, sebaliknya ketika tiada sesiapa yang melihat setiap tindakan dilakukan.

Ayob Khan turut mengingatkan bahawa setiap amanah dan kuasa yang diberikan bukan sahaja akan dipersoalkan di dunia, malah turut dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT.

“Manusia mungkin tidak melihat. Ketua mungkin tidak mengetahui. Namun Allah SWT sentiasa melihat. Malaikat Raqib dan Atid sentiasa mencatat.

“Setiap amanah akan dipersoalkan. Setiap kuasa akan dipertanggungjawabkan,” katanya.

Ibrahim Darus Ambil Alih Jawatan

Dalam majlis sama, Datuk Seri Ibrahim Darus secara rasmi mengambil alih jawatan Timbalan Ketua Polis Negara, meneruskan legasi yang ditinggalkan Ayob Khan.

Untuk rekod, Ayob Khan dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 23 Jun 2023 bagi menggantikan Tan Sri Razarudin Husain yang dinaikkan pangkat sebagai Ketua Polis Negara.

Dilahirkan pada 27 Julai 1966 di Kota Setar, Kedah, beliau merupakan lulusan Ijazah Sarjana Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta pernah menyandang pelbagai jawatan penting di peringkat negeri dan kontinjen sepanjang kariernya dalam PDRM. – The Malaysian Update

The post Ayob Khan Titip Pesanan Terakhir, Jangan Jual Maruah PDRM Demi Wang appeared first on The Malaysian Update.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved