Ayuh setahun himpun idea, bina #Malaysia100

LocalPolitics
31 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ayuh setahun himpun idea, bina #Malaysia100
Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub. FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID
Image from: Ayuh setahun himpun idea, bina #Malaysia100
Hussamuddin menegaskan, Legasi #Malaysia100 juga bukan kempen politik atau projek milik mana-mana kerajaan, parti, kaum, agama mahupun organisasi.
Image from: Ayuh setahun himpun idea, bina #Malaysia100
Hussamuddin berkata, dialog #Malaysia100 perlu berlangsung di seluruh negara termasuk di rumah, sekolah, universiti, tempat kerja, rumah ibadat, komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat dan parti politik.
Image from: Ayuh setahun himpun idea, bina #Malaysia100
Hussamuddin.

SHAH ALAM – Kempen Legasi #Malaysia100 dilancarkan sempena Hari Kebangsaan hari ini dengan misi menggunakan tempoh setahun hingga 31 Ogos 2027 untuk menghimpunkan pandangan rakyat dan menentukan hala tuju negara sebelum Malaysia memasuki perjalanan 30 tahun menuju usia 100 tahun kemerdekaan pada 2057.

Pengerusi Yayasan Sinar Untuk Malaysia yang juga Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, kempen itu mahu membuka ruang dialog nasional melibatkan rakyat tanpa mengira kaum, agama, latar belakang atau fahaman politik bagi membayangkan bentuk Malaysia yang mahu diwariskan kepada generasi seterusnya.

Menurutnya, tempoh setahun itu bukan bertujuan menyelesaikan semua masalah negara, sebaliknya menjadi ruang untuk rakyat mendengar, bertanya soalan sukar, mengemukakan idea serta menentukan apa yang perlu diubah, dipertahankan dan dibina.

“Kalau kita hanya bercakap tentang 2057, ia mungkin terasa terlalu jauh. Jadi kita mulakan dengan satu tahun, 31 Ogos 2026 hingga 31 Ogos 2027, untuk merenung, berbicara, bertanya soalan-soalan sukar dan berkongsi impian.

“Setahun ini bukan untuk menyelesaikan semuanya, tetapi untuk menentukan arah supaya 30 tahun akan datang tidak sia-sia. Setahun ini kita tentukan arah,” katanya.

**media[3631464]**

Hussamuddin berkata, dialog #Malaysia100 perlu berlangsung di seluruh negara termasuk di rumah, sekolah, universiti, tempat kerja, rumah ibadat, komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat dan parti politik.

Katanya, idea mengenai masa depan Malaysia tidak sepatutnya hanya ditentukan oleh segelintir pihak di Kuala Lumpur atau Putrajaya, sebaliknya perlu datang daripada rakyat sendiri termasuk di Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Beliau berkata, antara persoalan besar yang perlu diperhalusi ialah masa depan perpaduan, pendidikan, integriti, institusi, sistem keadilan, ekonomi dan alam sekitar.

“Kita tidak perlu bersetuju dalam semua perkara. Perbezaan pendapat adalah perkara biasa dalam demokrasi tetapi pasti ada perkara besar yang kita boleh sepakati.

“Kesepakatan itulah yang kita besarkan. Kita cari rentak irama yang sama di tengah-tengah perbezaan yang ada,” katanya.

‘Baton tak boleh jatuh’

Hussamuddin berkata, usaha itu juga berasaskan kesedaran bahawa generasi hari ini bukan pemilik mutlak negara, sebaliknya hanya pemegang amanah yang menerima Malaysia daripada generasi terdahulu sebelum menyerahkannya kepada generasi berikutnya.

“Kita terima baton ini daripada generasi sebelum ini. Mereka tidak sempurna tetapi mereka telah membawa negara sejauh ini untuk kita nikmati.

“Sekarang kita pemegang baton itu. Mahu tak mahu, kita perlu serahkan kepada generasi berikutnya untuk mereka sampai ke garisan penamat. Baton tak boleh jatuh untuk kita menang,” katanya.

Menurut beliau, baton itu bukan sekadar pembangunan fizikal tetapi turut membawa nilai, integriti dan ihsan yang mesti dipertahankan walau setinggi mana bangunan dibina atau secanggih mana teknologi negara pada masa depan.

Beliau mengingatkan, perpecahan, rasuah, pecah amanah, kelemahan institusi dan ketidakadilan yang gagal ditangani hari ini akan akhirnya menjadi beban generasi akan datang.

Hussamuddin menegaskan, Legasi #Malaysia100 juga bukan kempen politik atau projek milik mana-mana kerajaan, parti, kaum, agama mahupun organisasi.

**media[3631469]**

Katanya, kerajaan dan pemimpin akan berganti dalam tempoh tiga dekad akan datang, tetapi aspirasi besar negara seperti pendidikan, perpaduan, integriti dan institusi perlu melangkaui kitaran politik.

Beliau berharap menjelang 31 Ogos 2027, dialog sepanjang setahun itu dapat menghasilkan beberapa aspirasi utama yang boleh mendapat sokongan sebahagian besar rakyat sebelum negara menggunakan tempoh 30 tahun berikutnya untuk merealisasikannya.

"Saya membayangkan ketika Jalur Gemilang berkibar pada ulang tahun ke-100 kemerdekaan Malaysia, anak cucu kita akan berkata, datuk dan nenek kami tidak meninggalkan negara yang sempurna, tetapi mereka pernah berani untuk berusaha memperbaikinya. Mereka tidak lari, mereka sudah cuba sedaya upaya.

"Malaysia yang kita nikmati hari ini disebabkan mereka tidak putus asa, berdoa dengan harapan yang cukup tinggi meninggalkan Malaysia yang lebih baik untuk kami hari ini," katanya.

Ikuti temu bual Sinar Harian bersama Hussamuddin mengenai gagasan legasi #Malaysia100 dan masa depan negara menjelang 2057

SINAR HARIAN: Apakah sebenarnya gagasan #Malaysia100?

HUSSAMUDDIN: Malaysia 100 ialah usaha untuk kita bersama-sama membayangkan apakah rupa Malaysia apabila negara mencapai usia 100 tahun kemerdekaan pada 31 Ogos 2057. Ia bukan sekadar tentang pembangunan fizikal atau ekonomi. Kita juga perlu bertanya: bagaimana keadaan pendidikan, institusi, perpaduan, integriti dan paling penting, apakah nilai yang ada pada rakyat Malaysia ketika itu? Destinasi kita perlu jelas sebelum menentukan perjalanan untuk sampai ke sana.

 

Mengapa bercakap tentang 2057 sekarang sedangkan masih ada sekitar 30 tahun?

Sebenarnya 30 tahun itu bukannya lama, hanya satu generasi kanak-kanak yang kita nampak hari ini sedang membesar. Mereka akan menjadi pemimpin, pekerja, ibu, bapa dan pembuat keputusan apabila Malaysia mencapai 100 tahun. Sebab itu apa yang kita lakukan hari ini lah yang akan menentukan Malaysia yang mereka warisi nanti.

 

Mengapa Datuk melihat isu ini secara sangat peribadi?

Saya melihatnya bukan sahaja sebagai rakyat Malaysia tetapi juga sebagai seorang datuk. Generasi saya mungkin tidak semuanya berada di sini pada tahun 2057 tetapi anak dan cucu kita akan berada di sana. Jadi persoalannya mudah: Malaysia bagaimana yang mahu kita tinggalkan kepada mereka? Kebanggaan atau penyesalan? Bagi saya, setiap generasi hanyalah pemegang amanah atau trustee kepada negara ini sebelum menyerahkannya kepada generasi seterusnya.

 

Apakah bentuk Malaysia yang Datuk mahu lihat pada tahun 2057?

Saya mahu melihat Malaysia yang bukan sahaja maju, tetapi tenang. Tenang dalam perpaduan, keadilan dan kepercayaan. Saya mahu anak-anak muda tidak keluar negara kerana putus asa tetapi pulang kerana rindu.

Saya inginkan anak muda yang yakin dengan keupayaan berkembang di negara sendiri. Saya mahu institusi bukan sekadar wujud tetapi dipercayai. Tetapi impian ini tidak lengkap tanpa suara setiap individu rakyat. Visi itu tidak boleh berdiri sendiri. Kita tanya kepada diri kita, apakah wajah Malaysia yang kita ingin lihat ketika 100 tahun usia kita merdeka nanti?

 

Adakah #Malaysia100 satu kempen politik atau projek kerajaan?

Semestinya tidak. Malaysia 100 tahun tidak boleh menjadi milik satu kerajaan, satu parti, satu kaum, satu agama atau satu organisasi. Kerajaan akan berubah, pemimpin akan bertukar, parti politik akan naik dan turun. Tetapi Malaysia kita ini akan terus ada, sebab itu #Malaysia100 mesti menjadi aspirasi bersama seluruh rakyat Malaysia merentas agama, bangsa dan politik sekalipun. Ia oksigen, bebas bak angin, teguh bak akar.

 

Siapa yang perlu terlibat dalam #Malaysia100?

Semua. Kerajaan, pembangkang, perniagaan, pekerja, sekolah dan universiti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), organisasi agama, profesional, usahawan, petani, anak muda serta masyarakat biasa, ia mesti melibatkan rakyat di Sabah, Sarawak, Semenanjung serta rakyat Malaysia yang berada di luar negara. We own this, ia tanggungjawab yang kita pupuk atas cinta kasih kita kepada negara dan generasi kita. Suara kita inilah yang menentukan rupa Malaysia yang ingin kita bina.

 

Rakyat Malaysia mempunyai terlalu banyak perbezaan pandangan, bagaimana hendak mencapai persetujuan?

Kita tidak perlu bersetuju dalam semua perkara. Perbezaan pendapat adalah perkara biasa dalam demokrasi tetapi pasti ada perkara besar yang kita boleh sepakati. Kesepakatan itulah yang kita besarkan.

Kita mahu negara aman, anak-anak mendapat pendidikan yang baik, institusi yang dipercayai, ekonomi yang memberi peluang dan masyarakat yang lebih bersatu.

#Malaysia100 adalah tentang mencari titik persamaan tersebut dan kita bangkit bersama membina negara bermula daripada situ. Kita cari rentak irama yang sama di tengah-tengah perbezaan yang ada.

 

Apakah perkara pertama yang perlu dilakukan?

Dengar. Bukan sekadar mendengar dengan telinga tetapi dengan hati. Sebelum kita membina dasar atau melancarkan program, kita perlu tahu apa yang benar-benar diimpikan oleh rakyat. Tentukan destinasi dahulu, tetapkan kompas kita, pastikan driver cukup kompeten, rancang perjalanan ke destinasi Malaysia 100 tahun.

Jangan kita berlari tanpa merancang tidak tahu ke mana arah tuju, itu lebih haru-biru. Harus kritis: apakah maksud Malaysia yang benar-benar bersatu?

Apakah maksud kemakmuran? Apakah rupa integriti? Pendidikan bagaimana yang kita mahu untuk cucu kita? 30 tahun ke depan kita tetapkan, bina jalan menujunya, lakukan bersama-sama.

 

Mengapa dicadangkan tempoh 31 Ogos 2026 hingga 31 Ogos 2027 sebagai Tahun Dialog Nasional?

Kalau kita hanya bercakap tentang 2057, ia mungkin terasa terlalu jauh. Jadi kita mulakan dengan satu tahun 31 Ogos 2026 hingga 31 Ogos 2027 untuk merenung, berbicara, bertanya soalan-soalan sukar dan berkongsi impian. Setahun ini bukan untuk menyelesaikan semuanya, tetapi untuk menentukan arah supaya 30 tahun akan datang tidak sia- sia. Setahun ini kita tentukan arah.

**media[3631470]**

 

Di mana Dialog #Malaysia100 ini perlu berlangsung?

Di mana-mana. Di rumah, sekolah, universiti, tempat kerja, masjid, gereja, kuil, NGO, komuniti, syarikat dan parti politik. Kita tidak mahu hanya beberapa orang di Kuala Lumpur atau Putrajaya saja yang menentukan bagaimana rupa #Malaysia100. Idea mesti datang daripada rakyat Malaysia sendiri dari seluruh negara daripada pelbagai bidang dan sektor.

 

Adakah #Malaysia100 sekadar satu lagi platform untuk rakyat mengadu masalah negara?

Kita memang perlu jujur tentang masalah yang ada tetapi kita tidak boleh berhenti setakat mengeluh. #Malaysia100 perlu membawa kita daripada mengeluh kepada membina, jangan berhenti di situ. Datanglah dengan buah fikiran, bukan hanya keluhan. Jika ada yang tidak kena, cadangkan perubahan. Jika ada yang baik, pertahankan. Malaysia 100 tahun mengajak kita beralih daripada meratap kepada membina.

 

Apa yang berlaku selepas Tahun Dialog Nasional berakhir pada 31 Ogos 2027?

Menjelang 31 Ogos 2027, harapannya kita sudah mempunyai gambaran lebih jelas tentang beberapa aspirasi besar negara yang boleh disokong oleh majoriti rakyat Malaysia.

Selepas itu kita perlu bergerak kepada soalan seterusnya: Apa yang perlu kita lakukan untuk sampai ke sana? Dari 2027 hingga 2057, kita mempunyai tempoh tepat 30 tahun untuk membina Malaysia pada usia 100 tahun.

 

Bagaimana memastikan aspirasi #Malaysia100 tidak berubah setiap kali kerajaan bertukar?

Itulah sebabnya #Malaysia100 mesti lebih besar daripada politik kepartian. Sesetengah matlamat negara mesti mampu bertahan lebih lama daripada satu pilihan raya atau satu pentadbiran.

Perdana Menteri boleh bertukar, menteri boleh bertukar, kerajaan boleh bertukar tetapi aspirasi besar seperti pendidikan, integriti, perpaduan, institusi dan masa depan generasi seterusnya mesti mempunyai kesinambungan. #Malaysia100 tidak akan boleh berubah mengikut angin politik.

 

Apakah tanggungjawab generasi hari ini?

Kita ialah pemegang amanah. Kita menerima Malaysia daripada generasi terdahulu dan satu hari nanti kita perlu menyerahkannya kepada generasi selepas kita.

Persoalan yang perlu kita tanya kepada diri sendiri ialah adakah kita akan menyerahkan sebuah Malaysia yang lebih baik daripada Malaysia yang kita terima? Itulah ukuran sebenar legasi generasi kita.

 

Apakah mesej Datuk kepada rakyat Malaysia sempena gagasan #Malaysia 100?

Jangan tunggu 2057 untuk mula memikirkan #Malaysia100, kita bermula sekarang. Dialog nasional, pemikiran kritis, tak apa berbeza kerana impian kita tetap sama.

Tindakan harus bermula hari ini, kita mungkin mempunyai latar belakang, kaum, agama dan pandangan politik yang berbeza tetapi impian kita tetap sama untuk Malaysia yang jauh lebih baik daripada hari ini. #Malaysia100 milik kita semua, 30 tahun masa yang ada untuk membina Malaysia pada usia 100 tahun merdeka.

Satu tahun untuk kita bersatu, mendengar dan menentukan arah dan perjalanan itu bermula hari ini.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved