CGC lancar skim jaminan RM10 bilion, Karangkraf terima Anugerah Merdeka

Business & Finance
11 Aug 2026 • 7:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: CGC lancar skim jaminan RM10 bilion, Karangkraf terima Anugerah Merdeka
Penasihat dan Pengasas Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub (kanan) menerima Anugerah Merdeka disampaikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Mohamed Nazri - FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR
Image from: CGC lancar skim jaminan RM10 bilion, Karangkraf terima Anugerah Merdeka
Abdul Rasheed ketika berucap pada majlis pelancaran - FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR
Image from: CGC lancar skim jaminan RM10 bilion, Karangkraf terima Anugerah Merdeka
Mohamed Nazri (kiri) bersama penerima Anugerah Merdeka - FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR

KUALA LUMPUR – Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) melancarkan Skim Jaminan Portfolio (PG) dan Jaminan Portfolio-i (PG-i) BNM-CGC bernilai RM10 bilion bagi memperluas akses pembiayaan dan memperkukuh pertumbuhan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di seluruh negara.

Pada masa sama, Karangkraf Sdn Bhd antara lima perusahaan diumumkan sebagai penerima Anugerah Merdeka pada edisi ke-31 CGC Awards 2025 - mengiktiraf PMKS dengan penyertaan Bumiputera yang kukuh dan aktif dalam pemilikan, kepimpinan serta operasi.

Selain Karangkraf, penerima Anugerah Merdeka ialah Bubbles O2 Sdn Bhd, Indkom Engineering Sdn Bhd, Sipro Plastic Industries Sdn Bhd dan Skop Productions Sdn Bhd.

Anugerah bagi meraikan perniagaan yang menterjemahkan penyertaan inklusif kepada pertumbuhan mampan, sekali gus membuktikan peranan bakat dan kepimpinan Bumiputera dalam memperkukuh landskap perusahaan Malaysia.

CGC Awards 2025 turut menyaksikan pelancaran rasmi skim jaminan BNM-CGC yang pertama kali diumumkan pada 3 Jun 2026.

Skim berkenaan dijangka membolehkan pembiayaan dijamin sehingga RM10 bilion menerusi model perkongsian risiko bersama institusi kewangan yang mengambil bahagian, sekali gus memberi manfaat kepada anggaran 12,100 PMKS merentasi sektor ekonomi utama.

**media[3612184]**

Pembiayaan itu akan menyokong pengembangan perniagaan, peningkatan produktiviti, mempercepatkan peralihan kelestarian serta memperkukuh daya saing keseluruhan PMKS.

Majlis berkenaan dihadiri Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour serta lebih 300 tetamu kehormat termasuk pemimpin kanan institusi kewangan (FI), institusi kewangan Islam (IFI), institusi kewangan pembangunan (DFI), agensi kerajaan, rakan strategik dan PMKS penerima anugerah.

Sebanyak 32 anugerah disampaikan menerusi kategori Anugerah Rakan FI Terbaik dan Rakan Bukan FI Terbaik, Penghargaan Khas (Citation of Merits) serta Anugerah PKS, selain Anugerah Pengiktirafan Khas Bumiputera.

Abdul Rasheed berkata, ukuran kejayaan sebenar bukan berdasarkan jumlah pembiayaan yang disediakan.

"Sebaliknya sama ada perniagaan yang menerima sokongan menjadi lebih kukuh, berdaya tahan, berdaya saing dan menyumbang secara bermakna kepada ekonomi," katanya dalam kenyataan.

**media[3612186]**

Sementara itu, Pengerusi CGC, Datuk Mohammed Hussein berkata, daya tahan tidak dibina secara bersendirian dan bukan tanggungjawab institusi kewangan semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan keseluruhan ekosistem.

Dalam kenyataan sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Mohamed Nazri Omar pula berkata, pencapaian penerima anugerah tahun ini mencerminkan kekuatan dan dinamisme ekosistem keusahawanan Malaysia.

"CGC percaya PMKS yang berdaya tahan adalah tonggak utama kepada ekonomi yang kukuh dan mampan, manakala skim jaminan BNM-CGC itu menjadi pencapaian penting dalam meluaskan akses pembiayaan dan memperkasa perniagaan mengejar peluang pertumbuhan," katanya.

Selain Anugerah Merdeka, CGC Awards 2025 turut menyaksikan penyampaian dua Anugerah Program Pembangunan CGC® kepada HTFU Restaurants Sdn Bhd dan NK Riching Venture yang mencapai peratusan peningkatan tertinggi dalam pusingan perniagaan atau hasil jualan.

Sepanjang pelaksanaan pelan strategik lima tahun sebelumnya, CGC telah menyediakan bantuan kewangan kepada lebih 99,000 PMKS dan menyokong lebih 161,000 perniagaan menerusi program pembangunan berfokus.

Berdasarkan pencapaian itu, CGC kini memasuki fasa pertumbuhan baharu menerusi Kumpulan CGC 2030 bagi memantapkan impaknya terhadap PMKS, memajukan keterangkuman kewangan dan menyokong pembangunan ekonomi mampan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved