Azam Baki perlu beri penjelasan ‘kehadiran Pamela Ling ke Malaysia atas arahan SPRM’: peguam

LocalPolitics
15 May 2025 • 1:02 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dituntut untuk memberi penjelasan kepada umum berhubung kes kehilangan Datin Seri Pamela Ling Yueh.

Peguam Pamela, Sangeet Kaur Deo berkata, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilihat memilih untuk berdiam diri berhubung tatacara agensinya dalam kehilangan Pamela daripada mengembalikan semula keyakinan awam terhadap agensi berkenaan.

"Biar fakta menentukannya. Kini sudah hari ke-36 sejak Pamela diculik ketika dalam perjalanan ke SPRM. Selama berbulan-bulan beliau disoal siasat secara berterusan.

“Beliau dihalang daripada kembali kepada anak-anaknya di Singapura. Kehadiran Pamela di Malaysia bukan atas kehendaknya sendiri, tetapi atas arahan SPRM," katanya melalui kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sikap tidak peduli SPRM yang dengan mudah menyatakan pihak itu menyerahkan siasatan kepada polis, bukan saja tidak boleh diterima, namun semakin menjadi kebiasaan.

"Tiada rasa tanggungjawab. Tiada jawapan. Adakah SPRM kebal daripada dipertanggungjawabkan.

"Kepada siapa sebenarnya SPRM perlu bertanggungjawab… perdana menteri, eksekutif, rakyat? Pada masa ini, kelihatannya SPRM tidak menjawab kepada sesiapa, malah dalam menghadapi kemungkinan skandal nasional," katanya.

image is not available
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki diminta menjelaskan kepada umum berhubung kes kehilangan Datin Seri Pamela Ling Yueh. - Gambar Bernama, 15 Mei, 2025

Sebelum ini media melaporkan, SPRM mengesahkan bahawa Pamela yang hilang pada 9 April lalu dan suaminya, Datuk Seri Hah Tiing Siu, sedang berhadapan siasatan berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Siasatan berkenaan dimulakan Mei tahun lalu di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

SPRM memaklumkan, Tiing Siu dipanggil untuk memberikan keterangan berkaitan kes yang disiasat selepas kertas siasatan dibuka pada 28 Mei 2024 dan bagi melengkapkan siasatan Pamela juga turut dipanggil namun beliau gagal memberikan kerjasama.

Pada 5 Mei lalu, media melaporkan polis menjalankan siasatan secara menyeluruh berhubung kes kehilangan Pamela termasuk dakwaan dia dilarikan oleh pihak polis atau individu yang menyamar sebagai pegawai polis semasa dalam perjalanan ke Ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, pihaknya sedia maklum mengenai dakwaan yang menyatakan bahawa Pamela dilarikan oleh individu yang memakai vest bertulis polis namun siasatan lanjut sedang dijalankan.

Katanya, siasatan semasa kejadian juga turut mengambil kira rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian. - 15 Mei, 2025