
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyerbu lima kilang beras di Kedah yang disyaki terlibat dalam penyelewengan subsidi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki (gambar) berkata tiga kilang diserbu hari ini manakala dua lagi semalam.
Beliau berkata SPRM tidak melihat kepada isu penyorokan beras tetapi lebih kepada isu subsidi yang berpotensi mempunyai unsur rasuah.
“Perspektif SPRM adalah lebih kepada kesalahan-kesalahan rasuah yang mungkin berlaku terutama jika melibatkan dana wang kerajaan berkaitan subsidi sekiranya ia diseleweng,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Perkongsian Awam Swasta Fasa Dua: Cabaran Bersama Integriti Dalam Menangani Jenayah di sini hari ini.
Sementara itu, sumber SPRM memberitahu agensi tersebut kini menumpukan siasatan berkait penyelewengan pemberian subsidi kepada petani yang menjual beras tempatan ke kilang yang dilesenkan.
Serbuan SPRM terhadap lima kilang beras di Kedah semalam dan hari ini adalah bagi mengesan aktiviti penyelewengan pemberian subsidi beras tempatan yang disyaki menipu resit pembelian padi di kilang terbabit.
“Penyelewengan dalam tuntutan subsidi ini disyaki berlaku apabila jumlah berat padi yang dijual di kilang tidak sama dengan nilai subsidi yang dibayar kepada petani,” katanya sambil menambah resit pembelian dan jumlah berat padi disyaki sengaja dipalsukan dengan melipatgandakan jumlah jualan.
SPRM juga mendapati ada pengilang yang disyaki mencampurkan beras tempatan dengan beras import untuk dijual pada harga import dan keuntungan diraih adalah jauh lebih besar berbanding harga beras tempatan yang dikawal kerajaan.
Sumber itu turut memaklumkan punca bekalan beras tempatan berkurangan adalah dipercayai akibat tindakan pengilang menyorokkan beras tempatan kononnya untuk menunggu pelarasan harga oleh kerajaan atas alasan ia disimpan kerana tiada ejen yang mahu membelinya.
Azam ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dengan melihat kepada kesalahan jenayah serta aspek tatakelola dalam pengagihan subsidi. -Bernama

