Azeem Fahmi Cemerlang, Rangkul Gelaran Juara Asia B-23 Di China

10 Jul 2026 • 10:15 AM MYT
UmmahToday
UmmahToday

From Ummah To Ummah News Portal

Image from: Azeem Fahmi Cemerlang, Rangkul Gelaran Juara Asia B-23 Di China

Pelari pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi, membuktikan dirinya berada dalam kelas tersendiri apabila berjaya meraih pingat emas bagi acara 100 meter (m) pada Kejohanan Olahraga Bawah 23 Tahun (B-23) Asia 2026 yang berlangsung di Ordos, China, hari ini.

Atlet yang berusia 22 tahun itu menampilkan larian yang cukup bertenaga pada aksi final untuk muncul sebagai juara selepas mencatatkan masa 10.17 saat (s). Kejayaan itu sekali gus membolehkan beliau mengetepikan cabaran sengit daripada wakil Iraq, Falah Hasan Al-Khazaali, yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak menerusi catatan 10.21s.

Sementara itu, podium ketiga dan pingat gangsa pula menjadi milik pelari dari Qatar, Salah Nur I A Yunis, yang menamatkan larian dengan catatan masa 10.23s.

Terdahulu sebelum mara ke peringkat penentuan, Azeem telah pun mengesahkan slot ke peringkat final selepas mempamerkan larian kemas dan muncul antara pelari terpantas dalam saingan peringkat separuh akhir dengan catatan masa 10.15s.

Kejayaan manis di bumi China ini pastinya menjadi suntikan moral serta tonik terbaik buat Azeem. Beliau kini dilaporkan mahu mengalihkan fokus sepenuhnya terhadap cabaran yang lebih besar pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun menjelang September depan, yang diletakkan sebagai sasaran utamanya bagi musim ini.

Sumber: BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved