Azeez Rahim nafi guna kedudukan untuk pengerusi sebuah syarikat

LocalPolitics
9 Sep 2026 • 11:20 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Azeez Rahim nafi guna kedudukan untuk pengerusi sebuah syarikat

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menggunakan kedudukannya
untuk mendapatkan jawatan pengerusi sebuah syarikat lain termasuk meyakinkan ahli lembaga TH bersetuju bagi pelaburan RM193.5 juta.

Bagaimanapun Abdul Azeez, 60, yang memakai baju lokap polis berwarna ungu yang berada dalam kandang tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

“Saya faham, tidak benar sama sekali.. saya mohon dibacarakan,” kata Abdul Azeez.

Mengikut pertuduhan, Abdul Azeez didakwa sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) (ketika itu) telah menggunakan kedudukannya untuk suapan iaitu jawatan Pengerusi Syarikat Putrajaya Perdana Berhad dengan remunirasi sebanyak RM690,000.00 setahun serta kemudahan sebuah kereta jenis BMW 7 Series berserta seorang pemandu tetap.

Tertuduh mengambil tindakan dengan mengarahkan Tan Sri Ismee Ismail selaku Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga TH (ketika itu) untuk mencadangkan diri tertuduh sebagai wakil TH di dalam syarikat Putrajaya Perdana Berhad dan meyakinkan Ahli-Ahli Lembaga TH semasa mesyuarat lembaga pengarah untuk bersetuju meluluskan cadangan untuk melabur sehingga RM193.5 juta (sehingga 30% modal saham terbitan sedia ada) dalam syarikat itu yang tertuduh mempunyai kepentingan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat Lembaga Bangunan Tabung Haji, Jalan Tun Razak, di sini pada pada 25 Ogos 2014 mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan pemenjaraan maksimum 20 tahun dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau sepuluh ribu ringgit, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pada 27 Ogos lalu, bekas Ahli Parlimen Baling itu telah direman tujuh hari hingga 2 September bagi membantu siasatan susulan pendedahan berkaitan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai institusi itu.

Laporan RCI mengenai TH yang dimuat naik melalui portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 29 Julai lepas antara lain mencadangkan supaya audit forensik dijalankan untuk meneliti kaedah keputusan pelaburan lepas dibuat sehingga menyebabkan TH berhadapan dengan penurunan nilai aset yang teruk.

Skop siasatan RCI meliputi penelitian terhadap isu berkaitan TH sepanjang tempoh 2014 hingga 2020 dengan merujuk penemuan firma PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger, tidak termasuk pelan penstrukturan serta pemulihan yang sedang dijalankan ketika itu. – KOSMO! ONLINE

The post Azeez Rahim nafi guna kedudukan untuk pengerusi sebuah syarikat appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved