
PETALING JAYA – Lima individu termasuk bekas pengerusi dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji (TH) ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan berkaitan kes melibatkan Tabung Haji, semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, daripada jumlah tersebut, tiga individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung isu pembayaran hibah pada 2017.
“Dua lagi individu ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rusdi berkata, lima individu yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 48 hingga 70 tahun.
“Turut ditahan bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) TH serta kakitangan yang masih berkhidmat dengan TH.
“Tiga individu direman selama dua hari hingga esok, manakala dua individu yang terlibat dalam siasatan di bawah AMLA dibenarkan reman selama tiga hari hingga 11 September inj,” ujarnya.
Beliau berkata, siasatan terhadap kesemua individu masih diteruskan bagi melengkapkan siasatan.
Sebelum ini, Seramai 134 saksi telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.
Ia membabitkan kakitangan dalaman, pemegang amanah, ahli lembaga pengarah, CEO dan CFO TH.
Terdahulu, polis menerima sembilan laporan daripada TH, anak syarikatnya dan orang awam berhubung dakwaan jenayah komersial, termasuk perkara yang dibangkitkan dalam laporan RCI.
Empat kertas siasatan dibuka pada peringkat awal sebelum satu lagi dibuka mengikut undang-undang pencegahan pengubahan wang haram, menjadikan keseluruhannya lima. – KOSMO! ONLINE
The post 5 individu termasuk bekas pengerusi, CEO Tabung Haji ditahan appeared first on Kosmo Online.






