Azizulhasni Gesa Isu John Beasley Diselesaikan Secara Profesional

19 Jun 2026 • 2:10 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: Azizulhasni Gesa Isu John Beasley Diselesaikan Secara Profesional

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) — Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang berpandangan sebarang isu melibatkan ketua jurulatih skuad berbasikal negara John Beasley perlu diselesaikan menerusi perbincangan secara baik.

Mohd Azizulhasni berkata jika terdapat pihak merasakan sudah tiba masa untuk perubahan dalam kepimpinan kejurulatihan, perkara itu boleh dibincangkan secara profesional tanpa perlu mencetuskan polemik yang berpanjangan.

“Panggil duduk berbincang elok-elok dan lepaskan secara baik. Dia (Beasley) sendiri tidak kisah dan percaya suatu masa akan sampai ketikanya,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.

Mohd Azizulhasni berkata isu tersebut juga tidak seharusnya mengganggu fokus atlet yang sedang membuat persiapan untuk menghadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Selain itu, Mohd Azizulhasni berkata sebelum ini, Beasley sendiri berulang kali menasihatinya supaya tidak melayan polemik yang timbul dan memberi tumpuan penuh kepada persiapan dua temasya tersebut.

Beliau juga menyifatkan Beasley sebagai individu mempunyai reputasi baik dalam arena berbasikal, bukan sahaja sebagai jurulatih tetapi juga kerana kesediaannya membantu ramai pihak sepanjang berkhidmat dengan skuad negara.

Jika khidmat jurulatih kelahiran Australia itu tidak lagi diperlukan, Mohd Azizulhasni berkata proses peralihan harus dilakukan secara teratur dan penuh hormat atas jasa serta sumbangannya kepada pembangunan sukan berbasikal negara.

Media sebelum ini melaporkan Beasley dijangka meninggalkan jawatan itu lebih awal, iaitu penghujung tahun ini walaupun kontraknya hanya berakhir pada 31 Januari tahun depan susulan kekecewaan yang semakin memuncak terhadap beberapa isu dalaman sukan berbasikal negara.

The post Azizulhasni Gesa Isu John Beasley Diselesaikan Secara Profesional appeared first on The Malaysian Update.