
KUALA LUMPUR – Pelumba trek berpengalaman negara, Datuk Azizulhasni Awang sekali lagi membuktikan beliau masih berbisa di pentas dunia apabila meraih pingat emas acara keirin pada siri pembukaan Piala Dunia Berbasikal Trek UCI di Perth pada 7 Mac.
Pada aksi final di Velodrom Perth SpeedDome, Azizulhasni yang bermula dari posisi belakang mempamerkan strategi matang apabila mengekori rapat pelumba nombor satu dunia dari Great Britain, Matthew Richardson sebelum melakukan pecutan pada waktu yang tepat.
Seperti dijangka, Richardson terlebih dahulu melakukan pecutan, namun pengalaman dimiliki Azizulhasni membolehkannya menukar keadaan apabila berjaya memintas pada saat-saat akhir perlumbaan.
Keputusan perlumbaan terpaksa ditentukan menerusi semakan foto sebelum pelumba kelahiran Terengganu itu disahkan terlebih dahulu melintasi garisan penamat untuk meraih pingat emas.
Wakil Wanita Terkandas
Sementara itu, hasrat untuk melihat wakil negara dalam acara pecut individu wanita menaiki podium tidak kesampaian apabila dua pelumba negara, Izzah Izzati Asri dan Nur Alyssa Farid terkandas di pusingan kedua.
Izzah Izzati tewas kepada juara Olimpik dari New Zealand, Ellesse Andrews, manakala Alyssa disingkirkan pelumba China, Yuan Liying yang kemudiannya muncul juara selepas menewaskan Andrews pada aksi final. – The Malaysian Update
The post Azizulhasni Hadiahkan Emas Keirin Di Perth appeared first on The Malaysian Update.


