
KOTA BHARU – Seorang kanak-kanak lelaki yang cedera selepas diserang lima ekor anjing liar ketika bermain di Pantai Kuala Kemasin, Bachok masih dalam keadaan trauma apabila tidak mampu menceritakan secara terperinci kejadian yang menimpanya pada Khamis lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, bahagian kepala dan leher Azuar Firdaus Zuraiman, 8, yang cedera perlu dijahit dalam prosedur yang dijalankan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini semalam.
Ibu mangsa, Rosnani Mat Salleh, 46, berkata, anak kelapan daripada sembilan beradik itu kelihatan takut dan trauma apabila bercakap mengenai anjing liar selepas kejadian itu.
Katanya, Azuar Firdaus juga mengunci mulut sejak kejadian tersebut dan hanya bercerita mengenai tragedi menimpanya semalam iaitu selepas pembedahan selesai.
“Dia tidak mahu bercakap mengenai kejadian itu selama hampir dua hari. Selepas pembedahan, baru Azuar Firdaus berani membuka mulut meskipun keadaannya masih trauma dengan kejadian tersebut.
“Alhamdulillah, dia selesai menjalani pembedahan di HRPZ II apabila bahagian kepala dan lehernya perlu dijahit dengan empat jahitan. Buat masa ini, Azuar Firdaus disuntik satu dos vaksin rabies dan vaksin itu bersama antibiotik akan diberikan lagi dalam tempoh tiga minggu,” katanya ketika ditemui pemberita di HRPZ II di sini hari ini.
Terdahulu, Azuar Firdaus menerima kunjungan Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Norazan Mat Nor bersama pegawai dan guru besar Sekolah Kebangsaan Tawang, Mohamed Fhadhil Hassan ketika berada di Wad Anggerik, HRPZ II. – KOSMO! ONLINE
The post Azuar Firdaus trauma, tak mampu cerita detik diserang anjing liar appeared first on Kosmo Online.






