Diserang anjing: Tiga jam bedah kepala Nur Haira

LocalHealth & Fitness
2 Oct 2026 • 8:23 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Diserang anjing: Tiga jam bedah kepala Nur Haira

JOHOR BAHRU – Kanak-kanak perempuan, Nur Haira Wafiqah Muhammad Hamizi, 2, yang parah selepas diserang lima ekor anjing liar di hadapan rumah neneknya di Batu Pahat bulan lalu selamat menjalani pembedahan pada bahagian kepala.

Ibu mangsa, Nur Wahyuni Harun, 36, berkata, pembedahan selama tiga jam pada Selasa lalu dilakukan bagi merawat bahagian itu yang kehila­ngan tisu akibat serangan haiwan tersebut.

“Pembedahan dilakukan di kepala kerana bahagian itu sudah tiada tisu atau daging.

“Doktor bimbang jika dibiarkan, bahagian tersebut boleh menjadi kering dan memberi kesan kepada tengkorak sehingga menjadi rapuh,” katanya ketika dihubungi semalam.

Nur Wahyuni berkata, pembedahan yang dilakukan baru-baru ini belum membabitkan proses menutup sepenuhnya luka pada kepala anaknya.

“Bahagian pipi Nur Haira juga masih belum dibedah. Sebelum ini ia hanya dijahit,” katanya.

Jelasnya, pihak hospital juga masih belum menetapkan tarikh pembedahan susulan termasuk prosedur tampalan kulit pada kepala serta rawatan pembedahan pipi kanak-kanak itu.

Katanya, keluarga kini me­nunggu perkembangan daripada pihak hospital selain memastikan Nur Haira terus mendapat rawatan dan penjagaan rapi.

Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun cedera selepas diserang sekumpulan anjing liar di pekarangan rumah neneknya di Batu Pahat.
Insiden menyayat hati itu berlaku pada pukul 7 pagi, 5 September lalu.

Ketika kejadian, ibu bapa mang­sa dalam perjalanan ke Johor Bahru atas urusan perniagaan. Kejadian itu disaksikan abang mangsa berusia 12 tahun yang cuba menghalau haiwan tersebut.
Ekoran serangan itu, Nur Haira cedera parah di kepala dan muka.

Kejadian yang menimpa kanak-kanak itu mendapat perhatian pihak berwajib yang mengarahkan agensi berkaitan mengambil tindakan terhadap masalah anjing liar di Johor.

The post Diserang anjing: Tiga jam bedah kepala Nur Haira appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved