B*lasah Budak 12 Tahun Hingga Cedera Di Dahi & Mulut, Polis Tahan 3 Lelaki

3 Nov 2025 • 8:50 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

Tiga individu lelaki ditahan polis selepas disyaki terbabit kes pukul seorang kanak-kanak lelaki, baru-baru ini.

Menurut laporan, suspek pertama berjaya ditahan di Kelantan semalam, manakala suspek kedua dan ketiga diberkas di ibu negara hari ini, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus.

Penahanan dibuat susulan tular satu hantaran dalam media sosial berhubung seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dipukul oleh beberapa lelaki di kawasan medan selera di sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Setapak.

Menerusi video terbabit, kanak-kanak lelaki itu telah ditampar dan dipukul beberapa kali sambil dikepung tiga individu dewasa.

Kedengaran kanak-kanak terbabit menafikan pertuduhan yang dibuat oleh tiga individu berkenaan.

image is not available

Polis memaklumkan, punca kejadian dipercayai suspek menuduh mangsa mencuri sebuah pengecas bateri milik rakan suspek terbabit.

“Hasil siasatan lanjut, polis berjaya menangkap tiga lelaki dalam lingkungan usia 49 hingga 61 tahun di lokasi berasingan,” katanya.

“Mangsa mengalami kecederaan luka kecil di bahagian dahi serta mulut, dan telah menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.

Sehubungan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan membuat ugutan jenayah kepada mangsa.

Sumber: Harian Metro

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.