Tidak seperti iOS, sistem kemas kini Android masih lagi bercelaru walaupun selepas pengenalan Project Treble. Malahan ketika artikel ini ditulis, telefon pintar baharu yang masih menggunakan Android Pie masih dilancarkan walaupun selepas pengenalan Android 10 dua bulan lalu. Masalah ini akan cuba diselesaikan oleh Google dengan mengumumkan tarikh akhir meluluskan peranti Android Pie ialah pada bulan Januari 2020.

Ini tidak bermakna tiada lagi peranti Android Pie akan dilancarkan selepas Januari 2020. Sebaliknya Google hanya akan berhenti melakukan persijilan selepas tarikh tersebut. Ini akan sedikit sebanyak membendung pengeluaran peranti Android rasmi dengan sistem operasi yang sudah ketinggalan zaman. Penggunaan Android 10 akan membolehkan Project Mainline beroperasi yang memberikan kemas kini Android terus dari Play Store dan bukan dari pengeluar.
