Kerajaan Selangor Bekerjasama Dengan Grab Untuk Membangunkan Perkhidmatan E-Bazar Ramadan

TechnologyDigital
8 Apr 2020 • 2:13 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Pada minggu lalu, kerajaan negeri Selangor telah mengumumkan bahawa bazar juadah yang biasanya akan diadakan sepanjang bulan Ramadan telah dibatalkan. Ini menyebabkan ramai peniaga mengeluh kerana penjualan makanan di bulan Ramadan adalah salah satu mata pencarian yang paling menguntungkan untuk mereka.

Hari ini, Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari telah mengeluarkan satu pengumuman bahawa pihak kerajaan negeri akan bekerjasama dengan syarikat teknologi Grab MY untuk membangunkan sebuah ekosistem E-Bazar Ramadan tidak lama lagi.

Melalui sebuah kicauan di Twitter, beliau berkata bahawa platform Grab akan digunakan untuk merumahkan gerai-gerai sepanjang waktu Ramadan ini, dan pelanggan boleh membeli juadah-juadah untuk berbuka puasa, dimana pihak Grab kemudiannya akan menghantar makanan-makanan tersebut terus ke rumah anda.

15 lokasi di sekitar Selangor juga telah dikenalpasti sebagai tapak untuk dapur berpusat (central kitchen) yang boleh digunakan para peniaga untuk memasak juadah-juadah tersebut.

Buat masa ini, ia masih tidak diketahui apakah mekanisma yang akan digunakan oleh kerajaan negeri untuk memberitahu peniaga manakah yang berpeluang menggunakan platform E-Bazar Ramadan ini.