
Pemain perseorangan nombor satu dunia, Kunlavut Vitidsarn, terpaksa berputih mata pulang awal apabila tewas pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Perancis di tangan bintang tuan rumah semalam.
Untuk rekod, ini merupakan kali kedua berturut-turut pemenang pingat emas Sukan Asia Aichi-Nagoya itu kandas dalam pusingan 32 selepas turut tumpas dalam Terbuka Denmark minggu lalu.
Wakil Thailand itu harus mengharungi tempoh 57 minit perlawanan sebelum akhirnya kecewa di tangan Toma Junior Popov.
YONEX French Open 2026 MS - R32 9 21 21 🇫🇷Toma Junior POPOV🥇 21 14 15 🇹🇭Kunlavut VITIDSARN 🕚 in 57 minutes
— BWFScore (@BWFScore) October 20, 2026
Dengan kemenangan itu, Popov berjaya menyamakan pertemuan 3-3 dengan Kunlavut Vitidsarn.
Kunlavut Vitidsarn atau mesra dipanggil View terlebih dahulu memperoleh mata pertama hasil kecemerlangan set permulaan 21-9, sebelum pemenang pingat perak Piala Thomas itu melakar kebangkitan pada set berikutnya 14-21.
Popov yang beraksi di tempat sendiri mendapat sokongan padu tuan rumah, sekali gus berhasil menumpaskan View di set penentuan 21-15 dan akan bertemu lawan dari Singapura, Jason Teh, pada peringkat seterusnya.
Dengan kekalahan itu, View berpotensi kehilangan status selaku pemain nombor satu dunia, dengan bintang sensasi Denmark, Anders Antonsen, bakal mencuri peluang untuk kembali ke ranking tertinggi itu.




