Jika anda mengikuti perkembangan ekonomi Malaysia hari ini, pastinya anda sering mendengar tentang pertumbuhan ekonomi, pelaburan berbilion ringgit dan pengukuhan nilai mata wang negara. Namun, bagi seorang graduan baharu, persoalan yang lebih dekat di hati mungkin lebih mudah: apakah makna semua ini kepada peluang pekerjaan yang tersedia untuk mereka?
Pada masa yang sama, landskap pekerjaan turut berubah. Perkembangan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu sedang mengubah cara kita bekerja, termasuk dengan mengautomasi tugasan rutin dan meningkatkan permintaan terhadap kemahiran teknikal serta penyelesaian masalah.

Perubahan ini membuka ruang kepada perkembangan industri baharu yang memerlukan kepakaran dan kemahiran berbeza. Malaysia sedang berusaha memperkukuh kedudukannya dalam industri bernilai tinggi, termasuk semikonduktor, pusat data, elektrik dan elektronik (E&E), serta tenaga mampan.
Sektor-sektor ini bukan sahaja penting kepada pertumbuhan ekonomi negara, malah membuka ruang kepada pekerjaan yang memerlukan kemahiran khusus dalam bidang kejuruteraan, teknologi, penyelidikan dan pembangunan. Jika anda mengikuti laporan-laporan AMANZ, anda mungkin pernah membaca tentang perkembangan industri pempakejan dan pengujian cip tempatan, yang terus mendapat perhatian syarikat semikonduktor global.
Namun, peluang seterusnya bukan sekadar mengekalkan keupayaan sedia ada. Malaysia mahu bergerak lebih jauh dalam rantaian nilai industri ini, termasuk dalam penyelidikan, pembangunan dan reka bentuk cip. Peralihan tersebut memerlukan lebih ramai jurutera, saintis, pereka cip dan tenaga kerja teknikal.

Usaha memperkukuh industri dan membangunkan bakat tempatan turut menjadi antara tumpuan Program Government-linked Enterprises Activation and Reform Programme (GEAR-uP), yang diperkenalkan oleh Kementerian Kewangan pada Ogos 2024.
Melalui program ini, enam syarikat GLIC dan GLC komited menyalurkan RM120 bilion dalam pelaburan domestik secara langsung sepanjang 2024 hingga 2028, sebagai tambahan kepada pelaburan RM440 bilion dalam pasaran awam sedia ada.
Pada tahun 2025, sebanyak RM20.3 bilion pelaburan domestik secara langsung telah disalurkan menerusi GEAR-uP, meningkat hampir tiga kali ganda berbanding RM6.6 bilion pada tahun sebelumnya. Pelaburan ini membantu memperkukuh industri tempatan dan menyokong perkembangan aktiviti ekonomi bernilai tinggi, sekali gus membuka ruang kepada lebih banyak peluang kerjaya pada masa hadapan.
Tetapi bagaimana pula anak muda boleh mempersiapkan diri untuk merebut peluang tersebut?
Peluang pekerjaan baharu hanya bermakna jika anak muda mempunyai laluan untuk merebutnya. Di sinilah pembangunan bakat di bawah ekosistem GEAR-uP memainkan peranan – melalui latihan, pensijilan dan pengalaman industri yang membantu graduan serta lepasan TVET membina kemahiran yang diperlukan majikan dan membuka jalan kepada pekerjaan dalam sektor pertumbuhan.
Bagi graduan dan anak muda yang mahu mendapatkan kemahiran serta laluan ke industri, K-Youth Development Programme yang diterajui Khazanah Nasional merupakan antara platform yang tersedia. Sejak tahun 2023, program ini telah melatih 35,000 anak muda, dengan 9,934 peserta ditempatkan dalam pekerjaan pada tahun 2025, termasuk dalam sektor semikonduktor tempatan.
Bagi graduan yang mahu mendapatkan pengalaman sebenar di tempat kerja, program PROTÉGÉ–Ready to Work oleh TNB menawarkan pendedahan kepada industri tenaga serta kemahiran berkaitan grid dan peralihan tenaga. Sejak 2011, program ini telah melatih 7,216 rakyat Malaysia, dengan 559 peserta diserap bekerja di TNB, manakala 90% pesertanya datang daripada isi rumah berpendapatan rendah hingga sederhana.
Di samping itu, untuk mereka yang lebih cenderung kepada kerjaya teknikal, Sime Industrial Academy (SIA) merupakan pusat pembangunan kemahiran teknikal di bawah Sime Darby Industrial Sdn Bhd, yang menyediakan latihan dan pensijilan yang disesuaikan dengan keperluan industri. SIA melalui program Professional Certificate (PROCERT) memperkasa bakat muda dengan latihan praktikal berteraskan industri dalam bidang pengendalian peralatan berat serta kemahiran teknikal berkaitan.
Program ini bertujuan membina kompetensi, keyakinan dan kesiapsiagaan peserta untuk menceburi kerjaya dalam industri teknikal.Usaha membangunkan bakat ini akan diteruskan menerusi BAKAT MADANI, yang melibatkan keenam-enam GLIC, PETRONAS dan syarikat GLC lain. Dilancarkan pada Jun 2026 dan dipanjangkan sehingga akhir tahun 2027, inisiatif ini akan membina laluan pendidikan-ke-pekerjaan dalam sektor strategik, termasuk melalui pemerkasaan TVET dan penempatan dalam ekosistem industri.
Namun, kejayaan program sebegini bukan hanya boleh diukur melalui jumlah peserta yang dilatih. Lebih penting ialah bagaimana peluang tersebut dapat membantu seseorang membina kehidupan yang lebih baik.

Muhammad Amri Fazli, misalnya, merupakan antara kumpulan pertama pada tahun 2024 yang menerima pensijilan PROCERT selepas menamatkan pengajian dalam bidang automotif di Kolej Vokasional Juasseh, Negeri Sembilan. Beliau kini bekerja sebagai Junior Technician di Tractors Petroleum Services Sdn Bhd (TPS), salah sebuah anak syarikat milik penuh Sime Darby Industrial Sdn Bhd. Baru-baru ini, Muhammad Amri turut diberi peluang menjalankan tugasan di lokasi luar pesisir (offshore).
Bagi seorang pekerja baharu, pengalaman sebegini bukan sahaja menjadi peluang untuk menguji kemahiran, malah langkah penting dalam membina keyakinan dan pengalaman bekerja.
“Selepas tamat Diploma Vokasional dalam bidang Automotif, saya memang bercadang untuk meneruskan kerjaya dalam bidang teknikal. Melalui PROCERT, saya mendapat pendedahan yang lebih khusus kepada industri peralatan berat dan mula nampak dengan lebih jelas laluan kerjaya yang boleh saya ceburi. Ilmu yang dipelajari banyak membantu mempersiapkan saya untuk alam pekerjaan sehingga akhirnya saya mendapat peluang untuk bekerja di TPS sebagai Junior Technician,” kata Muhammad Amri.
“Sebagai Junior Technician di TPS, tugas saya melibatkan pemeriksaan, penyelenggaraan dan penyelesaian masalah peralatan mengikut keperluan operasi, termasuk tugasan di lapangan dan offshore. Secara peribadi, saya sangat berbesar hati dan gembira kerana dapat terus membina kerjaya bersama Sime Industrial. Dahulu saya datang sebagai pelajar tajaan, dan hari ini berjaya menjadi sebahagian daripada tenaga kerja syarikat serta meneruskan kerjaya dalam bidang yang saya minati,” tambahnya.

Bagi Shamundeswaran A/L Tham Biraja pula, peluang menyertai Program K-Youth membawa makna yang lebih besar. Selepas kehilangan bapanya, beliau terpaksa mengetepikan hasrat untuk menyambung pengajian selepas SPM bagi membantu menyara ibunya yang berusia 62 tahun.
Melalui Program K-Youth, beliau mendapat pekerjaan sebagai Operator di ON Semiconductor. Selain memperoleh kemahiran teknikal dan pengalaman bekerja dalam industri semikonduktor, pendapatan tetap yang diterimanya membolehkannya membantu keluarga dan menjaga ibunya dengan lebih baik.
“Program K-Youth membuka peluang untuk saya membina kemahiran dan memulakan kerjaya dalam industri semikonduktor. Mendapat pekerjaan yang stabil bukan sahaja memberi saya keyakinan untuk membina masa depan, tetapi yang paling penting, membolehkan saya terus menyokong dan menjaga ibu saya,” katanya.

Begitu juga dengan Nur Hanani Binti Hussain di mana pengalaman menyertai program PROTÉGÉ di TNB Genco menjadi titik penting dalam peralihan daripada alam pengajian kepada dunia pekerjaan. Lulusan Kejuruteraan Marin dari Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (UniKL MIMET) ini melihat program berkenaan sebagai peluang untuk memperluas pengalaman dan kemahirannya di luar bidang pengajian.
“Penyertaan saya dalam program PROTÉGÉ di TNB Genco memberi peluang untuk saya melangkaui latar belakang Kejuruteraan Marin dan mendapat pendedahan sebenar dalam industri penjanaan tenaga. Sepanjang lapan bulan di sana, saya bukan sahaja dapat mengaplikasikan ilmu teknikal dalam dunia pekerjaan, malah membina keyakinan, kemahiran komunikasi, kerja berpasukan dan sikap bertanggungjawab. Bagi saya, PROTÉGÉ merupakan pengalaman penting dalam peralihan daripada seorang pelajar kepada seorang profesional,” kata Nur Hanani, yang kini merupakan Pensyarah Kejuruteraan Marin di UniKL MIMET.

Bagi Eisqil Yuliana Hazamuddin pula, perjalanan kerjayanya bermula melalui program PROTÉGÉ di bawah Sime Darby Auto Performance (SDAP) (Porsche Malaysia) di Ara Damansara yang disertai pada tahun 2019 di jabatan aftersales. Lulusan Kejuruteraan dari University of Michigan itu kemudiannya mengambil peluang untuk beralih ke bidang pengeluaran dan kejuruteraan, selari dengan minatnya.
Bermula sebagai Process Engineer, Eisqil kini berkhidmat sebagai sebagai Ketua Kejuruteraan di Porsche Production Plant di Inokom, Kulim, anak syarikat Sime Motors. Eisqil turut berpeluang menjalani latihan di fasiliti Porsche di Bratislava, Slovakia, bagi mendalami teknologi pembuatan termaju dan amalan kejuruteraan bertaraf dunia. Pengalaman tersebut membolehkannya membawa pulang pengetahuan dan amalan terbaik untuk dikongsi bersama pasukan di Malaysia, sekali gus memperkukuh keupayaan tempatan.
“Sewaktu saya di jabatan aftersales di SDAP, saya telah sedikit sebanyak memperoleh pengetahuan di bidang automotif dan rakan kerja yang bekerjasama sehingga ke hari ini. Apabila peluang untuk berpindah ke Kulim dan menyertai Porsche Production Plant datang, saya tidak toleh kebelakang dan terus bersetuju kerana ini memang bidang yang saya ingin ceburi. Sejak itu, Sime banyak memberi saya ruang untuk belajar, mencuba perkara baharu dan mengambil tanggungjawab yang lebih besar; daripada Process Engineer sehingga kini mengetuai pasukan Engineering. Secara langsung, saya berjaya mencapai dan merealisasikan cita-cita saya sejak di bangku sekolah. Saya sangat bersyukur kerana Sime bukan sahaja membuka peluang itu, tetapi terus memberi kepercayaan dan ruang untuk saya berkembang sampai ke tahap ini.” katanya.
Kisah Amri, Shamundeswaran, Nur Hanani dan Eisqil mengingatkan kita bahawa perjalanan membina kerjaya mungkin tidak sentiasa mudah atau mengikut perancangan. Namun, apabila peluang industri berkembang seiring dengan usaha meningkatkan kemahiran, lebih banyak laluan boleh terbuka untuk mereka.

Persoalannya bukan lagi sekadar sama ada Malaysia mampu menarik pelaburan, tetapi bagaimana anak mudanya boleh menjadi sebahagian daripada pertumbuhan industri tersebut – bukan hanya sebagai pekerja, tetapi sebagai tenaga mahir yang turut membentuk masa depan industri negara.






