
SETIU: Golongan muda berharap Belanjawan 2027 memberi lebih tumpuan kepada usaha membantu mereka membina kehidupan yang lebih stabil termasuk menyediakan peluang pekerjaan bergaji lebih baik, akses memiliki rumah pertama serta sokongan meningkatkan kemahiran serta pendapatan.
Bagi mereka, bantuan kewangan hanya mampu meringankan beban untuk tempoh tertentu tetapi dengan penyediaan peluang pekerjaan dapat membantu menjana pendapatan sekali gus menjamin kehidupan mereka pada masa akan datang.
Tun Mohammad Safuan Tun Mohd Aidi, 25, berkata, antara perkara yang paling diharapkan adalah peluang pekerjaan dengan gaji yang lebih sepadan dengan kelayakan dan peningkatan kos sara hidup ketika ini.
Katanya, golongan anak muda berdepan kesukaran mendapatkan kerja tetap meskipun mempunyai tahap pendidikan yang baik ekoran persaingan tinggi.
“Bagi saya, bantuan memang perlu terutama ketika keadaan ekonomi mencabar tetapi yang lebih penting adalah peluang untuk kami meningkatkan pendapatan.
“Kalau ada lebih banyak peluang pekerjaan dengan gaji yang baik dan program latihan yang benar-benar diperlukan industri, ia dapat membantu anak muda berdikari tanpa terlalu bergantung kepada bantuan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Bagi Wan Zulfadhli Wan Zulkifli, 22, Belanjawan 2027 seharusnya memberi penekanan kepada latihan kemahiran baharu termasuk bidang teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Katanya, perubahan dalam pasaran pekerjaan menyebabkan golongan muda perlu sentiasa meningkatkan kemahiran supaya tidak ketinggalan.
“Kalau kerajaan boleh bantu dari segi kursus dan pensijilan yang diiktiraf industri, ia lebih berguna kerana kami boleh gunakan kemahiran itu untuk mendapatkan pekerjaan atau menambah pendapatan,” katanya.
Wan Amirul Izzuwan Wan Suhaimy, 20, pula berharap isu pemilikan rumah diberi perhatian kerana harga kediaman yang tinggi menyukarkan golongan berpendapatan sederhana dan rendah untuk membeli rumah pertama.
Katanya, selain menyediakan rumah mampu milik, kerajaan juga boleh mempertimbang skim pembiayaan yang lebih fleksibel bagi golongan muda yang mempunyai pendapatan tidak tetap.
“Kami mahu ada rumah sendiri tetapi pada masa sama perlu membayar sewa, kenderaan, makanan dan komitmen lain. Jadi, apa yang kami harapkan adalah dasar yang membantu anak muda membina kehidupan secara berperingkat, ” katanya.
Sementara itu, Nurul Fatihas Mat Yasin, 34, berkata, Belanjawan 2027 diharap dapat memperkukuh sokongan kepada golongan muda menerusi aspek pekerjaan, kemahiran, keusahawanan, perumahan dan perlindungan sosial.
Menurutnya, sokongan sedemikian bukan sahaja dapat mengurangkan tekanan kewangan semasa, malah memberi ruang untuk mereka merancang masa depan dengan lebih yakin. – UTUSAN
The post ‘Tolong kami bina kehidupan, bukan sekadar beri bantuan’ appeared first on Utusan Malaysia.






