
Juara dunia MotoGP, Francesco Bagnaia, tampil mengkritik keputusan Dorna Sports selepas badan penganjur itu mengeluarkan dokumentari bertajuk “Sepang Clash” sempena ulang tahun ke-10 insiden kontroversi antara Valentino Rossi dan Marc Marquez di Litar Sepang pada tahun 2015.
Dokumentari tersebut, yang dilancarkan menjelang MotoGP Malaysia hujung minggu lalu, mengimbas kembali detik dramatik yang pernah memecahbelahkan dunia MotoGP serta menjejaskan hubungan dua ikon sukan permotoran itu. Namun bagi Bagnaia, tindakan menghidupkan semula kisah lama itu bukan satu idea yang bernas.
“Pada pandangan saya, pelumba mempunyai sensitiviti yang tidak difahami oleh mereka yang membuat keputusan seperti ini,” ujar Bagnaia.
“Mengeluarkan dokumentari tentang kejadian 2015 bukan satu langkah yang baik. Ia menunjukkan kekurangan kepekaan terhadap apa yang telah berlaku.”
Bagnaia yang ketika itu masih dalam garaj Rossi menyaksikan insiden tersebut secara langsung, menganggap cara dokumentari itu digarap seolah-olah menyimpang daripada realiti sebenar.
“Ada beberapa peranan digambarkan dengan cara yang agak berbeza daripada apa yang sebenarnya berlaku. Saya tidak mahu komen terlalu mendalam, tapi itu jelas bukan cara yang betul,” katanya lagi.
Lebih mengecewakan, dokumentari itu dikeluarkan pada hari ulang tahun kematian Marco Simoncelli (Sic) — sesuatu yang dianggap Bagnaia sebagai tidak sensitif.
Bagnaia turut mendedahkan bahawa beliau sebenarnya telah diajak untuk terlibat dalam dokumentari itu, namun menolak tawaran tersebut.
“Mereka ada tanya saya awal tahun ini, tapi saya jawab ini bukan masa yang sesuai untuk bercerita tentangnya. Mereka malah libatkan Dovizioso yang kata dia tak ingat apa-apa, dan Sasaki yang langsung tiada kaitan — sungguh mengecewakan,” katanya tegas.
Bagi Bagnaia, “Sepang Clash” seharusnya dibiarkan sebagai sejarah — bukan dijadikan tontonan semula yang hanya membuka luka lama dalam dunia MotoGP.
The post Bagnaia kecam Dorna kerana keluarkan semula dokumentari ‘Sepang Clash’ appeared first on TW Media.
