
KUALA LUMPUR: Bukan mudah mengimbangi aspek pembelajaran dan kerjaya sebagai atlet renang namun Zy Lee Kher dari Pulau Pinang boleh tersenyum puas apabila berjaya membawa pulang pingat emas pada temasya Para Sukan Malaysia (Para Sukma) 2022, hari ini.
Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Ling Butterworth, Pulau Pinang itu berjaya mengungguli acara 200 meter (m) gaya bebas lelaki S5-S6 (kecacatan fizikal/ kecacatan anggota kaki) selepas merekodkan tiga minit lapan saat (s) di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, di sini.
Kejayaan berkenaan menyaksikan rakan senegerinya Muhd Nur Faris Ghazali terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dengan catatan 4:26.80s dan atlet Kedah Muhd Amirul Amin Lazim merangkul gangsa setelah merekodkan 4:27.09s.
“Ini penampilan kedua saya selepas Para Sukma 2018 di Perak yang ketika itu saya sekadar meraih pingat perak. Jadi sudah semestinya rasa lebih gembira selepas berjaya menambah koleksi pingat emas buat Pulau Pinang.
“Tidak mudah untuk saya seimbangkan pelajaran dan latihan renang namun atas sokongan ibu bapa, guru-guru, jurulatih akhirnya saya dapat membuktikan kemampuan diri saya pada kali ini,” kata Lee Kher ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Nik Muhd Joe Asyraff Nik Rafizal dari Selangor tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira apabila berjaya merangkul emas acara 200m gaya bebas lelaki S14 (masalah intelektual) selepas mencatatkan 2:14.36s hari ini.
Nik Muhd Joe Asyraff berkata kejayaan itu mahu dikongsikan bersama ahli keluarga yang sentiasa menyokong minatnya semenjak menceburkan diri dalam sukan renang pada usia 10 tahun.
“Semasa 2018 di Perak, saya tidak membawa pulang apa-apa pingat jadi sangat gembira dapat emas hari ini. Kejayaan ini saya mahu dedikasikan kepada ibu bapa, jurulatih dan keluarga yang sentiasa memberikan sokongan,” katanya.
Kejayaan atlet berusia 17 tahun itu menyaksikan Abdul Hakim Mohd Azhar dari Wilayah Persekutuan meraih pingat perak dengan catatan 2:21.73s manakala atlet Sabah Rasha Jing Min Lim di tempat ketiga setelah merekodkan 2:32.22s. -Bernama
