Bahagian Penguatkuasa KPDN dicadang naik taraf jadi jabatan

LocalPolitics
28 Apr 2026 • 11:53 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bahagian Penguatkuasa KPDN dicadang naik taraf jadi jabatan
Ahmad Zahid

CYBERJAYA – [DIKEMAS KINI] Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mencadangkan Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dinaik taraf kepada sebuah jabatan, selaras dengan peranan serta tanggungjawab yang semakin meluas.

Beliau berkata, cadangan itu wajar dipertimbangkan memandangkan isu kepenggunaan dan perdagangan domestik kini melibatkan pelbagai kementerian serta semakin kompleks, khususnya dalam era digital.

"Kalau ditanya saya... bahagian penguat kuasa ini sudah sampai masa untuk naik ke satu tahap menjadi Jabatan Penguat Kuasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Penguat Kuasa KPDN ke-54 dan pelancaran Dasar Pengguna Negara 2.0 di sini pada Selasa.

Turut hadir, Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali; timbalannya, Datuk Dr Fuziah Salleh; dan Ketua Pengarah Penguat Kuasa, Datuk Azman Adam.

Menurutnya, jika Armizan membawa cadangan tersebut ke Kabinet, beliau sedia memberikan sokongan agar ia dapat direalisasikan.

"Datuk Armizan bawa ke mesyuarat Jemaah Menteri, saya akan beri sokongan kepada cadangan ini dan kepada KSU (Ketua Setiausaha) KPDN, segera bincang dengan KPPA (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz), saya akan sentiasa berada di belakang anda," jelas beliau.

Dalam masa sama, Ahmad Zahid mengiktiraf peranan anggota penguat kuasa sebagai benteng utama dalam melindungi kepentingan rakyat, terutama dalam menangani penyelewengan subsidi dan jenayah perdagangan.

Menurutnya, tanpa penguatkuasaan yang berkesan, pelbagai ketirisan boleh berlaku termasuk penyeludupan dan manipulasi barangan keperluan.

“Tanpa anda, subsidi menjadi barang dagangan. Tanpa anda, minyak paket disorok dan dimanipulasi. Tanpa anda, tepung dan gula diseleweng demi keuntungan. Tanpa anda, petrol dan diesel diseludup tanpa kawalan. Tanpa anda, yang rugi bukan kerajaan semata-mata, tetapi rakyat keseluruhannya,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa cabaran penguatkuasaan kini tidak lagi terhad kepada operasi di lapangan fizikal, sebaliknya turut merangkumi ruang digital yang lebih kompleks dan sukar dikesan.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata, pendekatan penguatkuasaan perlu berubah dengan memanfaatkan teknologi, data serta risikan bagi memastikan tindakan yang lebih pantas dan tepat dapat dilaksanakan.

“Dalam dunia hari ini, penguatkuasaan tidak boleh lagi bersifat konvensional semata-mata. Ia mesti memanfaatkan teknologi, data dan risikan bagi memastikan tindakan yang lebih pantas dan tepat,” katanya.

Pada masa sama, beliau menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga penguat kuasa KPDN atas komitmen serta pengorbanan yang dicurahkan dalam melaksanakan tugas, meskipun berdepan pelbagai risiko dan cabaran keselamatan.

Tegas beliau, peranan penguat kuasa bukan sahaja penting dari sudut pelaksanaan undang-undang, malah turut menjadi asas kepada pembentukan kepercayaan rakyat terhadap sistem kepenggunaan negara.

Sementara itu, Armizan memaklumkan cadangan tersebut akan diangkat ke Kabinet dalam masa terdekat kerana terdapat keperluan mendesak seperti peningkatan kes e-dagang.

"Sebenarnya telah ada perbincangan di peringkat Jemaah Menteri yang antara lain telah memperakui bahawa kapasiti, keupayaan dan pemerkasaan Bahagian Penguat Kuasa di KPDN itu perlu dilaksanakan," katanya kepada pemberita.

Menurut beliau, kementerian meletakkan unjuran cadangan tersebut dibentangkan di Parlimen pada sidang akan datang.

"Insya-ALLAH, sebaik sahaja diluluskan, pasti ia memerlukan satu komponen penguatkuasaan yang kukuh dan mantap. Itu antara peranan yang perlu dilaksanakan oleh Bahagian Penguat Kuasa KPDN," jelas Armizan.

Selain kerencaman cabaran yang dihadapi berbanding dengan tanggungjawab tradisional penguat kuasa dahulu, jelas beliau, terdapat juga cadangan fungsi penguatkuasaan di beberapa kementerian boleh dilaksanakan oleh KPDN.

"Ini kerana kerajaan melihat tidak perlu untuk diwujudkan unit penguat kuasa di semua kementerian. Mengambil kira tanggungjawab KPDN ini yang berkait dengan perdagangan domestik, maka adalah lebih baik supaya fungsi penguat kuasa berskala kecil di kementerian-kementerian itu dapat dilaksanakan oleh Bahagian Penguat Kuasa KPDN," katanya.