KUDAT - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus memperhebatkan operasi bersama agensi penguat kuasa lain bagi mengekang aktiviti penyelewengan diesel di daerah ini.
Dalam satu serbuan kira-kira jam 10.20 pagi Rabu, penguat kuasa berjaya merampas 800 liter diesel serta menahan seorang lelaki disyaki terlibat dalam penyelewengan bahan api berkenaan.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Cawangan Kudat, Nazatul Shima Karim berkata, lelaki tempatan itu ditahan di kawasan jalan utama Karakit - Batu Layar, Pulau Banggi.
"Suspek ditahan selepas dilihat mengangkut empat tong drum berisi minyak diesel dianggarkan 800 liter dalam keadaan mencurigakan dan diletakkan di bahagian belakang pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.
"Lelaki tersebut telah ditahan dan kenderaan serta diesel tersebut disita dan dirampas untuk tindakan siasatan selanjutnya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan pihak penguat kuasa KPDN sentiasa komited dalam membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan, khususnya bahan api yang memberi kesan langsung kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.
“Tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan secara berterusan dan lebih agresif, terutamanya di kawasan Pulau Banggi yang dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi berlakunya aktiviti penyeludupan dan penyelewengan bahan api.
"Kami turut merakamkan penghargaan kepada Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Kudat dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) atas kerjasama strategik yang sentiasa diberikan dalam menjayakan operasi," katanya.
Dalam pada itu, KPDN turut mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan atau salah laku peniaga melalui saluran rasmi yang disediakan.
